Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Anggota polis meninggal dunia selepas solat Maghrib

Seorang anggota polis berpangkat sub inspektor meninggal dunia sebaik selesai menunaikan solat maghrib di Masjid Al-Wajdi Bukit Selambau, dekat Kuala Muda, malam Ahad (9 Jun).

Anggaran Waktu Membaca:
Anggota polis meninggal dunia selepas solat Maghrib

(Gambar hiasan: Saeed Khan/AFP)

Diterbitkan : 11 Jun 2019 09:41AM Dikemas Kini : 11 Jun 2019 09:45AM

ALOR SETAR: Seorang anggota polis berpangkat sub inspektor meninggal dunia sebaik selesai menunaikan solat maghrib di Masjid Al-Wajdi Bukit Selambau, dekat Kuala Muda, malam Ahad (9 Jun).

Anak Allahyarham, Cik Siti Nuraida, 32 tahun, berkata bapanya Encik Fadzil Ahmad, 60 tahun, menghembuskan nafas terakhir selepas tiba-tiba rebah kira-kira jam 7.45 malam.

Katanya, Allahyarham singgah di masjid itu untuk menunaikan solat ketika dalam perjalanan ke rumah mereka di kuarters Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sik selepas pulang beraya di kampung di Tasek Gelugor, Pulau Pinang.

“Arwah sebelum itu menghadiri majlis kenduri kahwin bersama adik bongsu saya, Muhammad Syafiq, 20 tahun, di Sungai Petani dan mengadu sakit dada dan sesak nafas selepas pulang dari kenduri, namun keadaannya ketika itu baik,” katanya ketika dihubungi Bernama semalam.

Katanya, ketika menunaikan solat maghrib bapanya masih boleh menunaikan kewajipan itu sehinggalah dia kembali mengadu sakit dada ketika imam membacakan zikir sebelum arwah rebah dan meninggal dunia.

Cik Siti Nuraida berkata bapanya ketika ini sedang bercuti dan akan bersara pada 14 Julai ini dan banyak menghabiskan masa menunaikan solat berjemaah di surau IPD Sik.

Katanya, arwah juga antara yang bertanggungjawab melaungkan azan sepanjang Ramadan lalu dan amat disenangi masyarakat sekeliling.

Jenazah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Masjid Jamek Kampung Tok Bedu, Tasek Gelugor, Pulau Pinang.

Sumber : Bernama/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan