Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Anggota keluarga ikuti pengalaman jemaah haji bertuah secara maya

Faridah Bakti Yahra membuat perjalanan seorang diri ke Makkah apabila beliau diberi peluang keemasan seumur hidup untuk menunaikan ibadat haji.

Anggaran Waktu Membaca:
Anggota keluarga ikuti pengalaman jemaah haji bertuah secara maya

Faridah Bakti Yahra berhubungan dengan keluarganya menerusi panggilan video di telefon bijak semasa menunaikan haji di Makkah pada 29 Jul 2020. (Gambar: STR/AFP)

Diterbitkan : 31 Jul 2020 02:57PM Dikemas Kini : 31 Jul 2020 02:58PM

KHOBAR: Faridah Bakti Yahra membuat perjalanan seorang diri ke Makkah apabila beliau diberi peluang keemasan seumur hidup untuk menunaikan ibadat haji.

Dengan hanya ditemani telefon bjiaknya serta menara-menara 5G yang menjulang tinggi di serata tanah suci tersebut, suri rumah warga Indonesia itu dapat berkongsi setiap detik perjalanan ibadat hajinya bersama suami dan tiga anak perempuannya di kota pesisir Saudi, Khobar.

"Saya sangat gembira beliau menyertai saya secara maya dan rohani bersama anak-anak perempuan saya juga. Semoga suami saya dapat datang ke sini bersama-sama saya lagi untuk mengerjakan haji, Insya Allah," kata wanita berusia 39 tahun itu ketika diwawancara AFP.

Pada beberapa hari pertama ibadat haji, ramai jemaah dilihat memegang telefon bimbit mereka untuk memetik swafoto atau 'selfie'. Ada juga yang berkongsi tentang perkembangan mereka sepanjang mengerjakan haji bersama keluarga dan sahabat handai menerusi penstriman langsung.

Teknologi berkelajuan amat tinggi 5G dilancarkan di Makkah tahun lalu. Ia membolehkan para jemaah haji dan umrah untuk memindahkan data pada kelajuan yang amat tinggi. Rangkaian 5G kini sudah digunakan secara meluas di Arab Saudi.

Namun, tahun ini, pengalaman keagamaan yang dikongsi bersama itu semakin terasa, dengan perhimpunan dikurangkan daripada lebih dua juta jemaah kepada hanya beberapa ribu sahaja. Mentelah lagi banyak doa dipanjatkan untuk dunia yang sedang dicengkam pandemik COVID-19.

PENGALAMAN DEKAT DENGAN KAABAH

Cik Yahra membuat panggilan video bersama suaminya apabila beliau menghampiri Kaabah pada hari pertama ibadat haji di Majidil Haram.

"Apabila isteri saya memasuki kawasan Kaabah dan menunjukkan saya Kaabah, saya berasa amat, amat gembira dan menangis," luah suami Cik Yahra, Hendra Samosir.

Lazimnya, ratusan ribu warga Indonesia menunaikan ibadat haji dengan ramai di antara mereka menunggu dan mengumpulkan wang simpanan selama beberapa tahun bagi giliran mereka.

Bagaimanapun kali ini, dipercayai kurang 12 daripada rakyat Indonesia membentuk jemaah haji tahun ini.

Umat Islam di seluruh dunia berasa kecewa meskipun kebanyakannya menerima hakikat bahawa mengerjakan ibadat haji pada skala biasa adalah mustahil di tengah-tengah pandemik COVID-19.

Warga asing membentuk 70 peratus daripada jumlah jemaah haji tahun ini manakala bakinya adalah rakyat Saudi, meliputi para karyawan perubatan dan kakitangan keselamatan yang sudahpun sembuh dari virus korona tersebut.

TUNAI IBADAH SECARA DIGITAL

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, haji menjadi pusat kepesatan pertumbuhan ibadah digital, dengan sejumlah aplikasi keagamaan dan Quran tablet dibangunkan.

Bahkan, sesetengah jemaah kini lebih memilih untuk membaca Al-Quran daripada telefon bijak mereka yang semakin pantas menggantikan kitab cetak tradisional.

Namun, teknologi tidak sahaja terhad kepada membaca dari skrin mahupun mengongsi cerita-cerita ibadat haji. Ia sudah pesat berubah untuk menawarkan para jemaah dengan kemungkinan mengerjakan tanggungjawab keagamaan mereka dari rumah.

Wadah-wadah online muncul sekali gus membolehkan para jemaah untuk menunaikan umrah secara maya, biasanya dalam masa beberapa jam sahaja.

Khidmat itu berdasarkan konsep penyumberan luar atau badal haji iaitu meminta seseorang di Arab Saudi untuk menunaikan umrah bagi pihaknya dan mengalaminya melalui kaedah realiti maya secara langsung.

Sebilangan ulama Islam menyokong idea itu sementara yang lain berkata hanya orang sakit yang layak mendapat pilihan tersebut. 

Sumber : AFP/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan