Images
  • ipoh exco paul yong
    Encik Paul Yong Choo Kiong (Gambar: Facebook/YB Yong Choo Kiong)

Anggota Exco kerajaan Ipoh tolak tuduhan rogol, cabul pembantu rumah

IPOH: Exco Perumahan, kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam dan Kampung Baharu Perak, Paul Yong Choo Kiong hari ini (10 Jul) menafikan tuduhan kononnya beliau merogol pembantu rumahnya.

Encik Yong berkata beliau amat terkejut serta keliru dengan tuduhan palsu yang dilemparkan kepadanya.

"Saya langsung tidak pernah merogolnya, mencabul kehormatannya atau melakukan apa-apa gangguan terhadap dia," tegas Encik Yong dalam satu kenyataan hari ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri Tronoh itu berkata, bagi membersihkan namanya daripada tuduhan bersifat fitnah itu, beliau memberi kerjasama sepenuhnya kepada polis dan percaya kebenaran akan mengatasi kebatilan.

"Saya telah membawa saksi-saksi untuk membantu siasatan polis bagi menunjukkan bahawa ia merupakan tuduhan fitnah semata-mata," katanya.

Encik Yong berkata beliau menghormati proses undang-undang yang sewajarnya serta percaya pihak polis akan menjalankan siasatan secara profesional dan telus.

Dalam pada itu Ketua Polis Perak Razarudin Husain @ Abd Rasid mengesahkan Exco berkenaan ditahan semalam dan sudah dibebaskan dengan jaminan polis sementara siasatan dilengkapkan mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan.

Pada Isnin, seorang pembantu rumah Encik Yong, wanita warga Indonesia berumur 23 tahun membuat laporan di Balai Polis Jelapang mendakwa dirogol Exco berkenaan di rumah majikannya itu di Meru, Ipoh.

- BERNAMA/TQ/tq

Top