Images
  • pbb michelle bachelet
    Pesuruhjaya Tinggi PBB bagi Hak Asasi Manusia, Michelle Bachelet. (Gambar: Denis Balibouse/REUTERS)

Ancaman alam sekitar cabaran terbesar hak asasi manusia: PBB

GENEVA: Ketua hak asasi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berkata "tiga krisis planet" iaitu perubahan iklim, pencemaran dan kehilangan alam semula jadi melambangkan ancaman terbesar ke atas hak asasi manusia sejagat.

Beliau berkata demikian pada Isnin (13 Sep) semasa pembukaan satu sesi sepanjang sebulan yang ditetapkan untuk mengutamakan isu-isu persekitaran.

"Sedang ancaman persekitaran ini meningkat, ia akan menjadi satu-satunya cabaran terbesar ke atas hak asasi manusia dalam era kita," kata Michelle Bachelet, merujuk kepada peristiwa iklim "ekstrim yang meragut nyawa" baru-baru ini seperti banjir di Jerman dan kebakaran hutan di California.

"Kita mesti menetapkan aras yang lebih tinggi - ternyata, masa hadapan kita bersama bergantung kepadanya," tambah beliau.

Beliau membuat kenyataan itu di sesi pembukaan Majlis Hak Asasi Manusia yang berlangsung dari 13 September hingga 8 Oktober, di mana tema-tema berhubung perubahan iklim dijangka menjadi tumpuan di samping perbahasan mengenai pencabulan hak di Afghanistan, Myanmar serta Tigray, Habysah.

Dalam ucapan yang sama, Cik Bachelet menyuarakan kebimbangan berhubung serangan terhadap penduduk asli di Brazil oleh para pelombong haram di Amazon.

Para diplomat yang berpangkalan di Geneva memberitahu Reusters bahawa dua penyelesaian baru mengenai alam sekitar dijangkakan. Ini termasuk mewujudkan satu Pelapor Khas baru mengenai Perubahan Iklim dan satu lagi yang akan mewujudkan hak asasi baru kepada alam sekitar yang selamat, bersih, sihat dan lestari.

Menteri Ehwal Luar Jerman Heiko Maas pada Isnin menyuarakan sokongan bagi idea pertama yang belum lagi diserahkan secara rasmi dalam bentuk draf.

"Perubahan iklim menjejas hampir semua hak asasi manusia," kata beliau.

Marc Limon daripada badan pemikir Kumpulan Hak Sejagat mengatakan pengiktirafan Majlis itu kepada hak asasi bagi alam sekitar yang sihat akan menjadi suatu "berita baik".

"Ia akan memperkasa individu untuk melindungi alam sekitar dan memerangi perubahan iklim," ujarnya.

Keputusan yang dibuat oleh 47 anggota Majlis itu tidak terikat secara undang-undang tetapi mewujudkan pengaruh dan kuasa politik. 

- REUTERS/FZ/fz

Top