Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Anak tiri Najib Razak disaman atas dakwaan salah guna dana 1MDB untuk biaya penerbitan filem, beli hartanah

1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan tiga subsidiarinya memfailkan saman terhadap Riza Shahriz Abdul Aziz, anak tiri bekas Perdana Menteri Malaysia Najib Razak atas dakwaan salah guna dana berjumlah AS$250 juta (S$330.9 juta) bagi membiayai penerbitan filem serta membeli hartanah.

Anggaran Waktu Membaca:
Anak tiri Najib Razak disaman atas dakwaan salah guna dana 1MDB untuk biaya penerbitan filem, beli hartanah

Riza Shahriz Abdul Aziz. (Gambar fail: BERNAMA)

Diterbitkan : 09 Jun 2021 10:50AM Dikemas Kini : 09 Jun 2021 10:52AM

KUALA LUMPUR: 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan tiga subsidiarinya memfailkan saman terhadap Riza Shahriz Abdul Aziz, anak tiri bekas Perdana Menteri Malaysia Najib Razak atas dakwaan salah guna dana berjumlah AS$250 juta (S$330.9 juta) bagi membiayai penerbitan filem serta membeli hartanah.

Melalui sistem e-filing mahkamah, 1MDB dan tiga subsidiarinya iaitu 1MDB Energy Holdings Limited, 1MDB Energy Limited dan 1MDB Energy (Langat) Limited sebagai plaintif, memfailkan writ saman pada 7 Mei melalui Messrs Shearn Delamore & Co, menamakan Riza Shahriz dan dua syarikatnya, Red Granite Pictures Incorporated dan Red Granite Capital Limited, sebagai defendan pertama dan ketiga.

Syarikat-syarikat itu turut menamakan firma guaman yang berpangkalan di New York, Shearman and Sterling sebagai defendan keempat.

Dalam writ saman itu, syarikat berkenaan mendakwa pada 2011 dan 2012, Riza Shahriz serta dua syarikatnya menerima dana kira-kira AS$250 juta (S$330.9 juta) daripada 1MDB dan tiga subsidiarinya yang lain, yang didakwa disalah guna apabila defendan menggunakan dana tersebut untuk kepentingan peribadi mereka dan untuk kepentingan rakan sekutu mereka, termasuk bagi membiayai penerbitan filem dan pembelian pelbagai harta tanah.

Syarikat-syarikat tersebut mendakwa Riza Shahriz, yang mengendalikan dua syarikat Red Granite, semestinya mengetahui bahawa wang yang berasal daripada 1MDB itu disalahgunakan bagi kepentingan mereka.

“Firma guaman Shearman dan Sterling (defendan keempat) membenarkan Riza Shahriz dan Low Taek Jho, atau Jho Low, rakan sekutu defendan pertama (Riza Shahriz) yang terlibat secara langsung dalam salah guna itu, untuk menggunakan kepentingan firma guaman tersebut untuk akaun peguam bagi mengubah sebahagian besar dana penyelewengan yang diterima oleh defendan pertama hingga ketiga, serta dana salah guna dana yang diterima oleh Jho Low daripada plaintif ke Amerika Syarikat dan mewakili Riza Shahriz dan Jho Low dalam pelbagai pembelian dan transaksi yang melibatkan dana yang disalahgunakan itu.

"Defendan keempat mengetahui, baik pengetahuan atau pengetahuan yang sebenarnya yang dapat disimpulkan daripada perbuatan yang disengajakan atau semberono dan gagal mengemukakan pertanyaan sewajarnya, bahawa dana yang dimaksudkan adalah hasil jenayah," menurut writ saman itu.

Oleh itu, plantif memohon perisytiharan bahawa Riza Shahriz bertanggungjawab di atas salah guna dana itu dan penggunaan dana yang tidak adil, dan memohon pembayaran balik dana yang disalahgunakan itu.

Pengurusan kes berkenaan pada Selasa (8 Jun) di hadapan Penolong Kanan Pendaftar Noordura Mohamed Din, yang menetapkan 17 Ogos untuk pengurusan kes selanjutnya secara dalam talian.

Pada 10 Mei, Kementerian Kewangan mengesahkan 1MDB dan SRC International Sdn Bhd (SRC) telah memfailkan sejumlah 22 tuntutan sivil untuk pemulangan aset dengan jumlah keseluruhan melebihi RM96.6 bilion (S$31.03 bilion), termasuk kira-kira RM300 juta (S$96.4 juta) tuntutan terhadap pelbagai pihak tempatan.

Menurut kementerian itu, writ saman yang difailkan pada 7 Mei terdiri daripada enam oleh 1MDB dan 16 oleh SRC.

Writ saman yang difailkan oleh 1MDB adalah terhadap sembilan entiti (termasuk dua institusi kewangan asing) dan 25 individu manakala writ yang difailkan oleh SRC adalah terhadap 15 individu dan lapan entiti atas pelbagai kesalahan. 

Sumber : Bernama/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan