Images
  • assault
    Gambar hiasan. 

Anak tergamak tumbuk bapa hingga patah gigi gara-gara tidak diberi RM2

KUALA TERENGGANU: Seorang lelaki tergamak menumbuk muka ayahnya sehingga mangsa patah gigi setelah permintaan mendapatkan RM2 (S$0.65) tidak dituruti.

Menurut sumber, dalam kejadian yang berlaku di Kampung Belukar Jambu di Chendering pada Rabu lalu (6 Okt), lelaki berusia 27 tahun itu dipercayai meminta wang RM2 daripada mangsa dengan alasan untuk membeli minyak motosikal.

"Mangsa enggan menunaikan permintaan berkenaan kerana tidak berpuas hati dengan sikap biadab suspek terhadapnya sebelum ini yang tergamak memarahinya hanya disebabkan mangsa menegurnya mengenai tong gas.

"Bagaimanapun keputusan mangsa yang tidak mahu menuruti permintaan suspek mengundang kemarahannya sebelum bertindak menumbuk bibir mangsa sehingga sebatang gigi patah," menurut sumber berkenaan ketika dihubungi Sinar Harian pada Selasa.

Menurut sumber itu lagi, oleh kerana mangsa kecewa dengan tindakan biadab anaknya, mangsa nekad membuat aduan polis untuk mengambil tindakan selanjutnya.

Sementara itu, Ketua Polis Kuala Terengganu, Penolong Pesuruhjaya Abdul Rahim Md Din ketika dihubungi Sinar Harian pada Selasa mengesahkan mereka menerima aduan kejadian di Balai Polis Chendering.

Menurutnya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan atas kesalahan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap mangsa.

- Agensi berita/HA/ha

Top