Images
  • ironman jagung
    (Gambar: Bernama)

Anak muda berniaga air jagung dalam kostum adiwira sebagai tarikan demi sesuap nasi

BUKIT MERTAJAM: Diberhentikan kerja ekoran pandemik COVID-19, seorang bekas kakitangan syarikat telekomunikasi tidak mengeluh sebaliknya berikhtiar meneruskan kehidupan dan memanfaatkan kreativitinya mengenakan kostum ‘Iron Man’ untuk berniaga air jagung.

Muhammad Syukur Mohd Patthi, 26 berkata dia diberhentikan kerja pada Ogos lalu dan berniaga air jagung sejak dua minggu lalu setelah sukar mendapat pekerjaan lain.

“Sebagai anak muda kita jangan terlalu berharap pada bantuan dan pemberian orang. Selagi ada kudrat, lebih baik cari rezeki sendiri,” katanya kepada Bernama.

Beliau bersama dua rakannya, Yusri Md Saad, 35 tahun, dan Mohamad Zaidi Zainal Abidin, 33 tahun, berniaga air jagung di persimpangan jalan berhampiran Bandar Perda, Bukit Mertajam.

Semasa bekerja di syarikat telekomunikasi itu, beliau turut melakukan pekerjaan sambilan sebagai penghibur berkostum adiwira dan watak kartun dalam sebuah kumpulan bergelar Geng Superhero Penang (GSP). Mereka sering menerima tempahan untuk menghiburkan kanak-kanak pada majlis hari jadi dan sebagainya.


(Gambar: BERNAMA)

"Namun sejak pandemik COVID-19 melanda negara, semua tempahan tersebut telah dibatalkan. Jadi kami rasa dengan memakai kostum ketika menjual air jagung merupakan cara yang unik untuk menarik pelanggan.

"Walaupun kini kami terpaksa berhujan dan berpanas di tepi jalan, setiap kali orang ramai melambai atau bunyikan hon, rasa letih itu berbaloi. Kami faham sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan, ramai yang rindu suasana di luar... Jika dengan melihat kami ini mereka boleh terhibur, saya turut gembira,” katanya.

Menurut Muhammad Syukur, pada awal perniagaan itu, mereka mengalami kerugian hingga 90 peratus namun kini semakin stabil.

“Stok yang tidak habis dijual kami beri kepada petugas barisan hadapan di sekatan jalan raya di sekitar Pulau Pinang,” katanya.

- BERNAMA/HA/ha

Top