Images
  • barron trump
    (Gambar: Reuters)

Anak lelaki Donald Trump diuji positif COVID-19

WASHINGTON: Anak lelaki Presiden Amerika Syarikat Donald Trump berusia 14 tahun, Barron, diuji positif bagi COVID-19 namun tidak mengalami sebarang gejala, selepas kedua-dua ibu bapanya dijangkiti virus tersebut, demikian menurut wanita pertama Melania Trump pada Rabu (14 Okt).

"Mujur beliau seorang remaja yang sihat dan tidak mengalami sebarang gejala," kata Cik Melania Trump dalam satu kenyataan. Menurutnya, sejak itu beliau dan Barron diuji negatif bagi virus tersebut.

Cik Melania Trump berkata beliau mengalami "sedikit" gejala dan beliau berharap untuk menyambung semula tugasnya sebagai wanita pertama "secepat mungkin".

"Saya mengalami sakit badan, batuk dan rasa pening, dan sangat letih pada kebanyakan masa," katanya.

"Saya memilih menjalani laluan semula jadi dari segi perubatan, memilih untuk makan vitamin dan makanan sihat," kata Cik Melania Trump.

Presiden Donald Trump dirawat selama tiga hari di sebuah hospital tentera setelah mengumumkan pada 2 Okt bahawa beliau dan isterinya diuji positif.

Bagi merawat virus tersebut, beliau diberi rawatan antibodi tahap eksperimen yang dicipta oleh Regeneron Pharmaceuticals Inc dan ubat antivirus remdesivir yang dihasilkan Gilead Sciences Inc serta ubat steroid dexamethasone.

"Boleh dikatakan saya bersyukur kami bertiga mengalaminya serentak supaya kami boleh menjaga satu sama lain dan meluangkan masa bersama," kata Cik Melania Trump.

- REUTERS/HA/ha

Top