Images
  • msia police car
    Gambar fail kereta polis di Malaysia. (Gambar: Manan Vatsyayana/AFP)

Anak jiran dibiarkan dalam kereta dibawa lari

JOHOR BAHRU: Tindakan seorang lelaki yang meninggalkan anak jirannya dalam kereta dengan keadaan enjin tidak dimatikan membawa padah apabila kenderaan itu dilarikan oleh individu tidak dikenali dalam kejadian di Taman Kota Masai, Johor Bahru, pada Jumaat (20 Sep).

Ketua Polis Daerah Seri Alam Supt Ismail Dollah berkata kejadian pada 2.57 petang itu berlaku ketika lelaki berkenaan berusia 35 tahun singgah di sebuah kedai selepas solat Jumaat sebelum pulang ke rumahnya.

“Pengadu meletakkan kereta di hadapan kedai dengan keadaan enjin masih hidup. Dia kemudian turun bersama dua anak lelakinya berumur empat dan enam tahun sementara anak lelaki jirannya yang berusia tujuh tahun menunggu di dalam kenderaan.

"Ketika itulah kenderaan berkenaan dilarikan oleh individu tidak dikenali," katanya dalam satu kenyataan.

Ismail berkata pihak polis yang menerima aduan selepas itu menggerakkan operasi untuk mengesan kenderaan serta kanak-kanak terbabit.

"Hasil kerjasama dan maklumat orang awam, kanak-kanak itu akhirnya ditemui setelah dipercayai ditinggalkan suspek di Jalan Sentosa 4, Taman Nusa Damai, iaitu lebih kurang 2.4 kilometer dari lokasi kejadian.

“Kenderaan yang dilarikan suspek juga dijumpai berhampiran kawasan kanak-kanak itu ditemui," tambahnya. 

- BERNAMA/FZ/fz

Top