Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Anak cari warga Malaysia di Singapura, Ali Jais, yang terpisah 20 tahun

Warga Malaysia Ali Jais yang diyakini masih berada di Singapura, sedang dicari oleh keluarganya selepas terpisah sejak 20 tahun yang lalu.

Anggaran Waktu Membaca:
Anak cari warga Malaysia di Singapura, Ali Jais, yang terpisah 20 tahun

Warga Malaysia, Ali Jais, dipercayai masih berada di Singapura. (Gambar: Khazimah Ali/Facebook)

Diterbitkan : 15 Nov 2020 02:52PM Dikemas Kini : 15 Nov 2020 03:09PM

SINGAPURA: Warga Malaysia, Ali Jais, yang diyakini masih berada di Singapura, sedang dicari oleh keluarganya selepas terpisah sejak 20 tahun yang lalu.

Tempat kerja terakhir bapa tiga anak ini yang lahir pada tahun 1936 adalah di “Cheney Building”, Beach Road.

Rayuan pencarian beliau dibuat oleh anak bongsunya Khazimah Ali, dan turut dikongsi di laman Facebook Malaysia-Singapore Border Crossers yang kini mempunyai kira-kira 72,000 ahli.

Satu-satunya gambar bapanya yang ada dalam simpanan turut disertakan dalam perkongsian itu.

“Abah sudah berpisah dengan emak. Sepanjang usia saya, kurang 10 kali saya menemui Abah,” kata Khazimah, 37 tahun, ketika dihubungi Bernama.

Ibu kepada empat cahaya mata ini berkata kali terakhir beliau menemui bapanya yang berasal dari Kuala Selangor pada sekitar tahun 2001 di Kuala Lumpur.

Pelbagai usaha menjejak bapanya termasuk membuat pemeriksaan di Jabatan Imigresen Malaysia beberapa tahun yang lalu.

“Menurut rekod terakhir, Abah sudah lama tidak keluar dari Singapura,” katanya yang kini tinggal di Selayang.

“Dalam pertemuan terakhir, saya sempat membelek passport Abah dan melihat terdapat banyak sejarah perjalanan keluar masuknya ke Singapura,” katanya.

Cik Khazimah dan dua lagi kakaknya, Hasliza, 41, dan Haslina, 39, serta seorang abang berlainan bapa Zuber Zainal Abidin yang turut sempat dijaga Ali sebelum menghilangkan diri, yakin bapanya berada di rumah jagaan orang tua.

Dalam keadaan sebak beliau mengakui sangat rindu dan ingin bapanya tahu bahawa beliau kini mempunyai tujuh orang cucu.

"Saya lebih bimbang akan kesihatan Abah..apatah lagi ditengah-tengah wabak COVID-19 ini.. yang pastinya Abah sudah berusia 84 tahun.

“Tiada keupayaan untuk kami mencari beliau di Singapura. Kami mengharapkan kehidupan Abah terurus di sana. Jika Abah sudah berkeluarga pun kami amat bersyukur,” kata Khazimah dan mengharapkan mereka akan dipertemukan.

Khazimah yang kini bekerja di Lanson Place Bukit Ceylon Serviced Residences, Kuala Lumpur memohon rakyat Malaysia dan Singapura yang mengenali Ali agar menghubungi beliau di +6011 1112 6552, Hasliza +60 17-388 7508 atau Haslina +60 10-771 9747. 

Sumber : Bernama/SU/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan