Images
  • south africa covid-19 ward
    Seorang kakitangan perubatan merawat seorang pesakit COVID-19 di Afrika Selatan (Gambar: REUTERS/Shafiek Tassiem)

Amnesty tuntut 2 bilion dos vaksin COVID-19 bagi negara miskin

LONDON: Pengilang vaksin COVID-19 sedang mengutamakan keuntungan berbanding menyelamatkan nyawa, tegas Amnesty International pada Rabu (22 Sep), sedang ia menuntut dua bilion dos vaksin untuk negara-negara miskin menjelang akhir tahun ini.

Kumpulan hak asasi manusia itu menyatakan dalam satu laporan baru bahawa Presiden Amerika Syarikat Joe Biden dijangka menggariskan ikrar di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk memvaksin sepenuhnya 70 peratus penduduk dunia menjelang September depan.

"Kami memerlukan pemimpin seperti Presiden Biden untuk menawarkan berjuta-juta dos dan mengotakan ikrarnya, jika tidak, ini hanyalah satu isyarat tidak bermakna dan nyawa akan terus terkorban," kata ketua Amnesty, Agnes Callamard.

Kumpulan itu menyatakan kesemua AstraZeneca, BioNTech, Johnson & Johnson, Moderna, Novavax dan Pfizer enggan berkongsi dos atau teknologi untuk membolehkan lebih ramai orang di dunia mendapatkan suntikan vaksin terhadap COVID-19.

Sebilangan besar orang di negara-negara kaya sudahpun divaksin tetapi beberapa bahagian Amerika Latin, Afrika dan Asia terjerumus ke dalam krisis baru dengan "puluhan ribu kematian yang dapat dicegah berlaku setiap minggu", Amnesty menekankan.

Menurutnya lagi, daripada 5.76 bilion dos yang diberikan di seluruh dunia, hanya 0.3 peratus yang disalurkan kepada negara berpendapatan rendah sedangkan lebih 79 peratus disalurkan kepada negara-negara berpendapatan pertengahan atas dan tinggi.

Dalam surat-surat yang dikirimkan kepada Amnesty, semua syarikat berikrar akan menyokong hak asasi manusia tetapi laporan itu mengecam tindakan syarikat-syarikat itu sebagai melanggar komitmen tersebut.

Ia akur bahawa AstraZeneca dan Johnson & Johnson menjual dos pada harga kos.

Namun keenam-enam syarikat tersebut menentang usaha India dan Afrika Selatan untuk mengecualikan hak cipta intelektual yang berkaitan dengan vaksin di Pertubuhan Perdagangan Sedunia, meskipun pihak mereka sendiri sudah mendapat sokongan besar daripada pemerintah.

Amnesty melancarkan sebuah kempen baru, yang menurutnya, disokong oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia dan Pesuruhjaya Tinggi PBB bagi Hak Asasi Manusia "untuk menuntut agar negara-negara dan syarikat gergasi perubatan dipertanggungjawabkan".

Dengan hanya tinggal 100 hari hingga hujung tahun, ia menekankan sasaran WHO untuk memvaksin 40 peratus penduduk negara berpendapatan rendah dan pertengahan rendah kini terancam.

Ia menuntut negara-negara lebih kaya supaya mengagihkan semula "beratus-ratus juta dos berlebihan yang kini tidak dimanfaatkan" dan agar pembuat vaksin memastikan sekurang-kurangnya separuh daripada dos yang dihasilkan diperuntukkan bagi negara-negara miskin.

"Keuntungan tidak boleh sekali-kali diutamakan daripada nyawa manusia," tegas Cik Callamard. "Tiada sesiapapun yang patut sengsara lagi setahun dan hidup dalam ketakutan."

- AFP/TQ/tq

Top