Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Amnesty International gesa Hong Kong siasat tindakan polis dalam bantahan

Amnesty International pada Selasa (24 Sep) menggesa pemerintah Hong Kong agar menyiasat tindakan kekerasan oleh pihak polis selama hampir empat bulan bantahan diadakan, serta menggalak Beijing untuk melindungi hak para penunjuk perasaan untuk berhimpun secara aman.

Anggaran Waktu Membaca:
Amnesty International gesa Hong Kong siasat tindakan polis dalam bantahan

Pihak polis menggunakan jet air untuk leraikan penunjuk perasaan di Hong Kong pada 15 Sep 2019 (Gambar: AFP/Nicolas Asfouri)

Diterbitkan : 24 Sep 2019 02:45PM Dikemas Kini : 24 Sep 2019 03:02PM

HONG KONG: Amnesty International pada Selasa (24 Sep) menggesa pemerintah Hong Kong agar menyiasat tindakan kekerasan oleh pihak polis selama hampir empat bulan bantahan diadakan, serta menggalak Beijing untuk melindungi hak para penunjuk perasaan untuk berhimpun secara aman.

Banyak bantahan secara aman telah bertukar menjadi pertempuran antara para penunjuk perasaan berpakaian serba hitam dengan pihak polis, yang bertindak balas dengan menggunakan gas pemedih mata, jet air dan peluru getah, selain melepaskan peluru hidup ke arah udara sebagai amaran.

Pihak polis, yang juga dilihat memukul penunjuk perasaan dengan belantan, menyatakan mereka telah banyak mengawal diri dalam menghadapi keganasan yang semakin meningkat di jalan-jalan raya, termasuk para penunjuk perasaan yang membaling bom petrol ke arah pasukan keselamatan.

"Mengarahkan siasatan bebas dan berkesan ke atas tindakan polis adalah langkah pertama yang penting," kata Encik Joshua Rosenzweig, ketua pejabat rantau Asia Timur Amnesty, dalam satu laporan.

"Pihak berkuasa perlu menunjukkan bahawa mereka sanggup melindungi hak asasi manusia di Hong Kong, walaupun terpaksa menolak 'garis merah' Beijing."

Pada 2017, Presiden China Xi Jinping memberi amaran dalam ucapan yang menandakan ulang tahun ke-20 penyerahan Hong Kong ke Beijing bahawa sebarang percubaan untuk menggugat kedaulatan China adalah "garis merah" yang tidak akan diterima.

Tunjuk perasaan yang bermula sebagai bantahan terhadap rang undang-undang ekstradisi yang kini dimansuhkan, bertukar menjadi seruan untuk demokrasi lebih meluas dan siasatan bebas terhadap tindakan polis.

Para aktivis juga meluahkan kemarahan terhadap apa yang mereka lihat sebagai cengkaman Beijing yang semakin ketat ke atas bekas tanah jajahan Britain yang dikembalikan kepada China itu, di bawah aturan "satu negara, dua sistem" pada 1997.

China menyatakan ia komited terhadap aturan yang memastikan kebebasan, termasuk hak perhimpunan dan badan kehakiman yang bebas, dan menafikan campur tangan.

Dalam satu cabaran langsung terhadap pemerintah Parti Komunis di tanah besar China, beberapa penunjuk perasaan menyasarkan pejabat perwakilan Beijing di Hong Kong, melontarkan batu-bata di luar pangkalan Tentera Pembebasan Rakyat China dan membakar bendera China.

Ketegangan di pusat kewangan Asia itu semakin memuncak menjelang ulang tahun ke-70 sejak China diasaskan pada 1 Oktober, dengan pihak berkuasa berusaha untuk mengelakkan kejadian yang boleh memalukan pemerintahan pusat di Beijing.

Hong Kong juga pada hujung minggu ini menandakan lima tahun sejak bermulanya tunjuk perasaan "Payung", iaitu siri bantahan pada 2014 yang gagal mendapatkan kelonggaran dari Beijing.

Sumber : Reuters/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan