Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Alami Sindrom Down tidak halang remaja ini hafal al-Quran

Dia dilahirkan sebagai insan istimewa dengan mengalami sindrom Down. Namun remaja bernama Muhamad Luqman Nazim Muhamad Fadzli ini masih berupaya menjadi seorang penghafaz al-Quran.

Anggaran Waktu Membaca:
Alami Sindrom Down tidak halang remaja ini hafal al-Quran

(Gambar: BERNAMA)

Diterbitkan : 24 May 2021 12:17AM Dikemas Kini : 24 May 2021 12:22AM

KUALA LUMPUR: Dia dilahirkan sebagai insan istimewa dengan mengalami sindrom Down. Namun remaja bernama Muhamad Luqman Nazim Muhamad Fadzli ini masih berupaya menjadi seorang penghafaz al-Quran.

Walaupun dilahirkan tidak sempurna seperti insan lain, Muhamad Luqman Nazim, 17 tahun, dikurniakan daya ingatan yang kuat dan terang hati sehingga membolehkannya menghafaz surah-surah lazim seperti al-Fatihah, al-Falaq, an-Nas, al-Kaafirun, al-Asr, al-Fil, al-Ma’un dan al-Kausar sejak kecil.

Menurut ibunya, Farah Nazim Bulya Nazim, 42 tahun, yang menetap di Permatang Pauh, Pulau Pinang, anak sulung daripada empat beradik itu mula mengenal huruf, angka dan jawi pada usia dua tahun serta mula membaca ketika berusia enam tahun.

Malah anak istimewanya yang pernah menghidap penyakit jantung berlubang dan injap sempit ketika kecil, menamatkan bacaan Muqaddam semasa berusia 10 tahun dan kini sedang mengaji pada juzuk 15, surah al Isra’ dengan dibantu bapanya Muhamad Fadzli Abdullah, 45 tahun.

“Alhamdulillah, Muhamad Luqman Nazim dikurniakan dengan daya ingatan yang kuat. Dia dapat mengingat sesuatu dalam masa singkat dan cepat, contohnya dia mampu menghafaz surah al-Kahfi ayat 1 hingga 10 hanya dalam tempoh tiga hari dan terbaru, Qunut Nazilah dalam masa sehari.

“Saya sentiasa berbual dan bercakap dengan Luqman dengan sebutan intonasi menggerakkan mulut secara perlahan-lahan kerana saya percaya dalam usia ini dia sebenarnya sedang belajar melalui pergerakan bibir,” katanya kepada Bernama.

Pada masa sama, Cik Farah Nazim turut mengelak untuk bercakap dengan menggunakan bahasa pelat budak kecil bagi mengelakkan anaknya itu terikut dengan cara bercakap tidak betul.

Dia juga sering mengurut muka Muhamad Luqman Nazim sejak dari kecil bermula dari bahagian kening, batang hidung dan mulut sampai ke pipi sambil berzikir.

Untuk proses menghafaz pula, Cik Farah Nazim lebih selesa menggunakan kaedah pengulangan serta memberi ganjaran setiap kali anak-anaknya berjaya menghafaz sesuatu surah.

“Bagi saya anak-anak perlu diajar berdisplin termasuklah Muhamad Luqman Nazim. Sebagai ibu bapa, kita perlu tegas tetapi penyayang selain sentiasa memegang jawatan guru disiplin peribadi untuk anak-anak,” katanya.

Selain dikurniakan dengan daya ingatan yang kuat, Muhammad Luqman Nazim juga tidak kekok untuk membantu ibunya memasak sehingga video membantu ibunya memasak turut tular di media sosial baru-baru ini di laman Facebook (FB) ‘Masak Apa Hari Ini’.

Gelagatnya yang sangat bersahaja dan ceria menyebabkan rata-rata warga net yang menonton video masakannya itu terhibur setelah melihat aksinya seperti seorang cef profesional mengendalikan program memasak.

Sementara itu, Cik Farah Nazim yang juga ahli kumpulan Persatuan Bunga-Bunga Syurga Sindrom Down Malaysia, pada masa sama berharap agar masyarakat dan pihak berkenaan peka kepada golongan orang kurang upaya (OKU) ini dengan memberi peluang kepada mereka untuk hidup dalam komuniti.

“Anak-anak ini ada keistimewaannya tersendiri yang perlu dicungkil dan digilap secara berterusan. Mereka juga berhak disayangi dengan betul iaitu dengan memberikan didikan kendiri dan bukannya kasih sayang tanpa ilmu,” katanya.

Selain itu, beliau turut mencadangkan kepada kerajaan agar satu silibus pendidikan khas Sindrom Down diwujudkan bagi memperkasa kebolehan golongan itu. 

Sumber : Bernama/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan