Images
  • ismail
    (Gambar: Bernama)

Aktiviti ekonomi dibenarkan dengan had waktu di enam negeri PKP - Ismail Sabri

KUALA LUMPUR: Sebahagian aktiviti ekonomi dibenarkan beroperasi sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang akan bermula pada 12.01 tengah malam ini di enam negeri di Malaysia dengan waktu operasi antara pukul 6.00 pagi hingga pukul 8.00 malam, kecuali bagi aktiviti tertentu.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob berkata ini termasuk restoran, kedai makan, penjaja tepi jalan dan beredar serta medan selera namun tidak boleh makan di premis berkenaan kerana hanya penghantaran, pembungkusan dan pandu lalu dibenarkan.

Beliau berkata selain itu, kiosk, kedai runcit, kedai serbaneka dan kedai keperluan harian, dobi kecuali dobi layan diri dibenarkan dibuka dengan had waktu yang sama.

"Pasar harian dan pasar tani boleh beroperasi dari pukul 7.00 pagi hingga pukul 2.00 petang manakala pasar borong dari pukul 12.01 tengah malam hingga pukul 6.00 pagi dan pukul 11.00 pagi hingga pukul 4.00 petang,” katanya dalam sidang media perkembangan PKP di sini hari ini (12 Jan).

Penguatkuasaan semula PKP itu, yang melibatkan Pulau Pinang, Selangor, Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Putrajaya serta Labuan), Melaka, Johor dan Sabah untuk tempoh 14 hari hingga 26 Jan ini, telah diumumkan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin semalam.

Enam lagi negeri iaitu Pahang, Perak, Negeri Sembilan, Kedah, Terengganu serta Kelantan dikenakan PKP Bersyarat (PKPB) manakala PKP Pemulihan (PKPP) dilaksanakan di Perlis dan Sarawak untuk tempoh sama.

Mengulas lanjut, Encik Ismail Sabri berkata stesen minyak dibenar beroperasi dari pukul 6.00 pagi sehingga pukul 10.00 malam kecuali yang berada di lebuh raya dibenarkan beroperasi 24 jam.

Katanya hospital dan klinik pula dibenarkan beroperasi 24 jam manakala farmasi hanya dari pukul 6.00 pagi hingga pukul 8.00 malam.

Beliau berkata pergerakan di kawasan PKP hanya dibenarkan dalam radius 10 kilometer dengan dua orang dalam sebuah kereta kecuali mereka yang perlu mendapatkan perkhidmatan perubatan di mana maksimum tiga orang sebuah kereta selain dibenarkan keluar dari had radius.

Mengulas mengenai kebenaran membuka pusat asuhan kanak-kanak, Taska, Tadika dan tabika sepanjang PKP, Encik Ismail Sabri berkata keputusan itu diambil selepas mendapat laporan bahawa ibu bapa menghadapi kesukaran kerana pejabat perkhidmatan awam serta swasta masih dibuka.

“Ini akan sukarkan ibu bapa untuk bekerja kalau anak-anak tidak dapat dihantar dan kita sebenarnya kenakan SOP sangat ketat kepada ibu bapa yang hantar (anak) ke situ dan juga sewaktu kanak-kanak berada di tempat-tempat ini, SOP sangat ketat perlu dilaksana pengusaha,” katanya.

- BERNAMA/NA/na

Top