Images
  • Zafar
    Pelarian dan aktivis Rohingya Zafar Ahmad Abdul Ghani dan isterinya dari dalam rumah mereka. (Gambar: Reuters/Lim Huey Teng)

Aktivis Rohingya di M'sia diancam bunuh, dihambur ucapan kebencian

KUALA LUMPUR: Zafar Ahmad Abdul Ghani, seorang pelarian Muslim Rohingya dan aktivis yang melarikan diri daripada penindasan dan konflik etnik di Myanmar, sudah menganggap Malaysia sebagai tempat tinggalnya untuk hampir sedekad.

Sekarang, rumahnya ibarat penjara.

Zafar, 51 tahun, belum pernah keluar daripada rumahnya di pinggir bandar Kuala Lumpur untuk hampir setahun.

Ini selepas tersebar maklumat salah di wadah online, bahawa beliau menuntut diberikan kerakyatan Malaysia. Ini menyebabkan beliau dan keluarganya dilempar ucapan kebencian dan diugut bunuh.

"Saya masih takut. Selama setahun, saya tidak jejakkan kaki ke luar. Saya tidak melihat dunia luar," kata bapa tiga anak itu.

Zafar sudah membuat laporan tentang tuduhan palsu dan serangan online itu kepada polis. Namun dari pengetahuannya, tiada dakwaan sudah difailkan.

Zafar menafikan bahawa beliau membuat sebarang tuntutan untuk mendapatkan kerakyatan atau hak sama seperti warga negara Malaysia bagi masyarakat Rohingya di sana.


Lebih 100,000 orang Rohingya tinggal di Malaysia, yang telah lama dilihat melayan kaum minoriti teraniaya itu dengan baik, meskipun mereka tidak diiktiraf secara rasmi sebagai pelarian.

Bagaimanapun, penerimaan baik itu mula bertukar sejak setahun lalu apabila warga Rohingya dikatakan menyebarkan COVID-19.

Ucapan kebencian yang menghasut keganasan ke atas Rohingya dan para pendatang tidak sah lain, tersebar online.

Sebahagian besarnya disasarkan kepada Zafar, yang mengetuai sebuah pertubuhan utama hak asasi pelarian Rohingya.

Zafar masih menerima panggilan telefon dan mesej-mesej di akaun media sosial bersifat penganiayaan setiap hari. Malah, butiran dan gambar-gambar keluarganya tersebar online, menurut petikan gambar yang ditunjukkan kepada Reuters.

Isterinya yang merupakan rakyat Malaysia, Maslina Abu Hassan, berkata serangan-serangan itu sangat menjejas mereka.

Anak-anak mereka tidak lagi dapat ke sekolah atas sebab-sebab keselamatan dan tahun lalu, Zafar didiagnos mengalami kemurungan dan mula mengambil ubat untuk menanganinya, kata Maslina.

Zafar, yang berdaftar dengan Pesuruhjaya Tinggi bagi Pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHCR), membuat permohonan untuk berpindah ke nagara lain namun permintaannya ditolak setelah agensi itu menyatakan beliau tidak memenuhi kriteria untuk ditempatkan semula.


Menurut seorang jurucakap UNHCR di Kuala Lumpur menerusi satu kiriman emel, agensi itu tidak dapat mengulas kes-kes individu.

Keputusan menempatkan semula pelarian bergantung kepada beberapa faktor, kata beliau, tetapi akhirnya ia bergantung kepada negara-negara yang mungkin menerima mereka.

Zafar berkata beliau berharap agensi itu akan menimbangkan kesnya kerana beliau tidak lagi berasa selamat di Malaysia.

"Saya tidak boleh rehatkan tubuh, minda dan hati. Saya menangis dan bertanya mengapa mereka melakukan ini kepada saya."

- Reuters/NK/nk

Top