Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Akibat bunyikan hon kereta, mangsa cedera parah

Gara-gara membunyikan hon kereta, seorang pegawai pemasaran cedera ditikam dua lelaki dalam satu kejadian di Johor.

Anggaran Waktu Membaca:
Akibat bunyikan hon kereta, mangsa cedera parah

Jalan Dato Abdullah Tahir. (Gambar: Google Maps)

Diterbitkan : 13 Sep 2018 01:42AM Dikemas Kini : 13 Sep 2018 01:49AM

JOHOR BAHRU: Gara-gara membunyikan hon kereta, seorang pegawai pemasaran cedera ditikam dua lelaki dalam satu kejadian di Johor.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan ACP Shahurinain Jais berkata kejadian kira-kira pukul 4.00 pagi pada Ahad lalu (9 Sep) berlaku ketika mangsa yang berusia 40 tahun itu sedang memandu di Jalan Dato Abdullah Tahir.

Beliau berkata sebuah kereta jenis Mercedes Benz yang dinaiki dua suspek lelaki, tiba-tiba keluar dari bahu jalan terus memasuki ke laluan hadapan kereta yang dipandu mangsa menyebabkan beliau terus membunyikan hon.

"Berang dengan tindakan mangsa yang membunyikan hon, suspek memberhentikan kereta dan terus keluar menuju ke kereta mangsa dan memaksanya keluar.

"Sejurus kemudian, suspek mengeluarkan pisau lipat dan menikam mangsa di bahagian perut, tangan dan beberapa anggota lain badan berkali-kali manakala seorang lagi bertindak menumbuk mangsa di bahagian muka sebanyak tiga kali,” kata ACP Shahurinain Jais.

Akibat tikaman itu, mangsa cedera di lengan sebelah kiri, luka di bahagian perut, badan dan sakit di bahagian kepala, tambah ACP Shahurinain.

Beliau meminta agar orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian itu menghubungi Bahagian Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Selatan atau di mana–mana balai polis berhampiran.

Kes itu disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan. 

Sumber : Bernama/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan