Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Akhirnya, rakyat Thai keluar mengundi Ahad ini

Suasana pilihan raya semakin memuncak di bandar raya Thailand, dengan papan-papan iklan dan poster kempen yang memaparkan gambar calon memenuhi segenap ruang di tepi-tepi jalan.

Anggaran Waktu Membaca:
Akhirnya, rakyat Thai keluar mengundi Ahad ini

Lebih tujuh juta pengundi kali pertama dijangka keluar mengundi pada 22 Mac 2019. (Gambar: Jewel Samad/AFP)

Diterbitkan : 22 Mar 2019 10:31PM Dikemas Kini : 22 Mar 2019 10:35PM

BANGKOK: Suasana pilihan raya semakin memuncak di bandar raya Thailand, dengan papan-papan iklan dan poster kempen yang memaparkan gambar calon memenuhi segenap ruang di tepi-tepi jalan.

Trak pikap yang dilengkapi pembesar suara serta menampilkan poster besar menyusuri jalan menyebarkan pesanan, usaha serta aspirasi parti-parti bertanding menjelang pilihan raya umum Thailand pada Ahad (24 Mac).

Sejak beberapa minggu lalu, calon dan pemimpin parti membuat penampilan di pasar-pasar serta mengadakan ceramah dan perhimpunan, selain majlis beramah mesra bagi menyampaikan mesej masing-masing dalam usaha memenangi hati dan jiwa rakyat.

Bagaimanapun, segala kegiatan berkempen akan tamat pada pukul 6.00 petang (waktu tempatan) pada Sabtu (23 Mac), sebelum rakyat Thailand keluar mengundi pada Ahad (24 Mac) untuk menunaikan tanggungjawab bagi menentukan masa depan negara itu.

Ia merupakan pilihan raya pertama dalam tempoh lapan tahun selepas tentera mengambil alih pentadbiran Thailand melalui rampasan kuasa.

Persoalan yang bermain di fikiran setiap orang adalah sama ada pilihan raya yang dinanti-nantikan itu akan menandakan bermulanya demokrasi. Rampasan kuasa oleh tentera bukan perkara baru bagi rakyat Thailand.

Lebih 51 juta penduduk, termasuk 7.33 juta pengundi kali pertama, dijangka keluar mengundi pada hujung minggu ini bagi memilih 500 wakil ke Parlimen, dengan 350 dipilih secara langsung menerusi pilihan raya kawasan sementara baki 150 akan dipilih melalui senarai parti.

Berdasarkan perlembagaan baru, perdana menteri baru akan dipilih oleh 750 anggota Parlimen, iaitu 500 anggota Dewan Perwakilan dan 250 anggota Dewan Senat.

Sesebuah parti politik perlu menang 376 kerusi bagi membolehkannya melantik perdana menteri.

Menurut perlembagaan baru, kesemua 250 anggota Senat dilantik oleh tentera. Sebelum ini, hanya anggota Dewan Perwakilan mengundi untuk memilih perdana menteri.

Seramai 68 orang bertanding untuk jawatan perdana menteri kali ini. 

Sumber : Bernama/AI/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan