Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

AirAsia jangka pemulihan lebih kukuh bagi penerbangan

AirAsia menjangkakan perjalanan udara akan pulih lebih kukuh di semua destinasi domestik utama termasuk penerbangan antarabangsa dalam masa terdekat, selepas ia dimantapkan lagi dengan protokol kesihatan serta keselamatan yang ketat oleh syarikat penerbangan itu.

Anggaran Waktu Membaca:
AirAsia jangka pemulihan lebih kukuh bagi penerbangan
Ibu pejabat AirAsia di Sepang. (Gambar: KLIA)
Diterbitkan : 23 Sep 2021 10:32PM Dikemas Kini : 23 Sep 2021 10:37PM

KUALA LUMPUR: AirAsia menjangkakan perjalanan udara akan pulih lebih kukuh di semua destinasi domestik utama termasuk penerbangan antarabangsa dalam masa terdekat, selepas ia dimantapkan lagi dengan protokol kesihatan serta keselamatan yang ketat oleh syarikat penerbangan itu.

Syarikat penerbangan tambang rendah itu dalam satu kenyataan hari ini (23 Sep) menjelaskan susulan pengumuman kerajaan Malaysia mengenai pelancaran semula perjalanan antara negara dan pembukaan semula aktiviti pelancongan setelah kadar vaksinasi bagi orang dewasa mencapai 90 peratus di Malaysia, syarikat penerbangan itu bersiap sedia untuk ke arah pemulihan sepenuhnya

"Ini didorong lagi oleh kejayaan gelembung perjalanan Langkawi yang telah dimulakan pada 16 September lepas," katanya.

Syarikat penerbangan tersebut mencatatkan permintaan yang luar biasa untuk destinasi pelancongan domestik yang dibuka semula baru-baru ini seperti Langkawi (Malaysia), Boracay, Cebu dan Bohol (Filipina), Chiang Mai, Chiang Rai dan Hat Yai (Thailand).

"Faktor muatan untuk destinasi percutian ini berada dalam lingkungan yang agak positif iaitu 80-90 peratus dengan lebih banyak frekuensi dan laluan yang akan ditambah tidak lama lagi, sesuai dengan pengukuhan tempahan ke hadapan yang agak konsisten.

"Sejajar dengan peningkatan kadar vaksinasi di seluruh dunia, AirAsia menjangkakan potensi pembukaan perjalanan udara antara negeri secara beransur-ansur akan berlaku dalam beberapa minggu akan datang, serta perjalanan antarabangsa dapat disambung dalam beberapa bulan lagi khususnya dalam rantau ASEAN, yang menyaksikan kadar inokulasi bertambah dan syarikat penerbangan ini bersedia sepenuhnya untuk menyambut tetamu dengan standard keselamatan tertinggi," katanya.

Bagi menjamin keselamatan tetamu dan pekerjanya serta sebagai sebahagian daripada pelan mitigasi COVID-19, AirAsia menjadikan proses daftar masuk sebagai wajibuntuk semua pelanggannya.

Presiden Kumpulan AirAsia (Syarikat Penerbangan) Bo Lingam berkata untuk Langkawi sahaja, AirAsia Malaysia sudah menjual lebih daripada 260,000 tempat duduk dalam tempoh lebih dari seminggu, yang merupakan bukti kuat terhadap tahap permintaan perjalanan domestik yang terpendam selama ini.

"Permintaan sudah ada memandangkan orang ramai tidak sabar untuk bertemu kembali dengan teman dan keluarga atau berangkat ke destinasi percutian kegemaran mereka.

"Kami sedang mempromosikan pendekatan yang standard ke atas semua negara-negara di ASEAN, yang membolehkan individu yang diberi vaksin melakukan perjalanan dengan bebas serta selamat antara negara tanpa perlu dikuarantin atau menempuh proses kelulusan yang merumitkan,” katanya.

Sumber : Bernama/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan