Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Ahmad Zahid tandatangani akuan bersumpah sokong Anwar Ibrahim, dedah Annuar Musa

Annuar Musa mengesahkan pada Rabu (6 Jan) bahawa pemimpin tertinggi parti termasuk Presiden UMNO, Dr Ahmad Zahid Hamidi, menandatangani akuan bersumpah (SD) menyokong Anwar Ibrahim untuk menjadi Perdana Menteri.

Anggaran Waktu Membaca:
Ahmad Zahid tandatangani akuan bersumpah sokong Anwar Ibrahim, dedah Annuar Musa

(Gambar: BERNAMA)

Diterbitkan : 06 Jan 2021 03:14PM Dikemas Kini : 06 Jan 2021 09:28PM

PUTRAJAYA: Annuar Musa mengesahkan pada Rabu (6 Jan) bahawa pemimpin tertinggi parti termasuk Presiden UMNO, Dr Ahmad Zahid Hamidi, menandatangani akuan bersumpah (SD) menyokong Anwar Ibrahim untuk menjadi Perdana Menteri.

Bekas Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) itu dilaporkan berkata demikian oleh media-media tempatan semasa satu sidang media di Putrajaya hari ini.

Difahamkan, akuan bersumpah itu akan dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong, lapor Berita Harian Malaysia.

Encik Annuar juga ditukil sebagai berkata beliau menerima maklumat dan bukti kukuh yang menunjukkan terdapat pemimpin tertinggi UMNO yang berunding dengan DAP bagi membentuk jajaran baru politik serta menjatuhkan kerajaan Perikatan Nasional (PN).

"Saya mengesahkan wujudnya sokongan secara hitam putih oleh presiden UMNO kepada Anwar Ibrahim untuk menjatuhkan PN yang dianggotai BN.

"Akuan itu dialamatkan kepada Yang di-Pertuan Agong," katanya seperti ditukil Malaysiakini.

Ahli Parlimen Ketereh itu dilaporkan berkata demikian sehari setelah beliau disingkirkan daripada jawatannya sebagai setiausaha agung BN, yang kini diambil alih oleh Anggota Parlimen Pontian, Ahmad Maslan.

Encik Annuar menambah, tindakan yang diambil Dr Ahmad Zahid itu merupakan percubaan dan perundingan yang melibatkan DAP dalam apa yang diistilahkan sebagai pembentukan jajaran baru politik.

REDA DIPECAT, TIDAK MAHU "BERSEKONGKOL"

Encik Annuar berkata selain sokongan secara hitam putih yang diberikan kepada ketua pembangkang Encik Anwar, ada beberapa isu yang timbul sewaktu beliau menjadi setiausaha agung BN.

Antaranya, lapor Malaysiakini, adalah percubaan dan rundingan melibatkan DAP dalam pembentukan jajaran baru politik dan percubaan untuk menggugat kestabilan kerajaan PN sehingga menjejaskan hubungan baik terutamanya antara UMNO, PAS dan Bersatu.

"Perbezaan pendirian ini menuntut saya mengambil ketetapan untuk tidak bersekongkol dengan gerakan-gerakan yang tidak selari dengan keputusan rasmi MKT (Majlis Kerja Tertinggi UMNO)," katanya.

Dengan perbezaan prinsip itu, kata Encik Annuar, adalah lebih baik untuknya tidak bersubahat dengan hala tuju Encik Ahmad Zahid, yang dilaporkan memaklumkannya melalui WhatsApp pada 1.51 petang semalam.

"Justeru, saya dengan penuh reda menerima pemecatan ini dan berserah kepada Allah SWT.

"Saya akan terus berjuang atas wadah perjuangan UMNO dan akan terus menyumbang ke arah UMNO yang bermaruah, berintegriti dan kekal memimpin penyatuan ummah dan menunjangi permuafakatan nasional," katanya seperti ditukil Malaysiakini.

Sumber : Agensi berita/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan