Ahmad Zahid Hamidi dipanggil beri keterangan 3 hari berturut-turut
PUTRAJAYA: Presiden UMNO, Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini (12 Okt) hadir di ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), buat tiga hari berturut-turut bagi memberi keterangan berhubung dakwaan penyelewengan dana Yayasan Akal Budi.
Mantan timbalan perdana menteri Malaysia itu tiba di pekarangan lobi SPRM pada pukul 9.20 pagi dengan menaiki sebuah kereta SUV berwarna putih, menurut laporan Astro Awani.
Siasatan sedang dijalankan berhubung dana Yayasan Akal Budi yang didakwa digunakan bagi melunaskan hutang kad kredit milik beliau dan isterinya, yang menurut Astro Awani, membabitkan nilai mencecah RM800,000 (S$264,700).
Secara keseluruhannya, ini adalah kali kelima beliau dipanggil untuk memberi keterangan di SPRM - empat kali berhubung yayasan tersebut, dan sekali berhubung isu dana RM2.6 bilion (S$860.8 juta) yang dimasukkan ke akaun mantan Perdana Menteri Malaysia, Najib Razak.
Hari ini hari ketiga berturut-turut Presiden UMNO DS @Zahid_Hamidi dipanggil beri keterangan di Ibu Pejabat SPRM berhubung dakwaan penyelewengan dana Yayasan Akal Budi.
— FA 🍂 (@FirdausAzil) October 12, 2018
Nantikan sebarang perkembangan lanjut di @501Awani pic.twitter.com/ncRZEkNoCB
Menurut laporan Astro Awani, anak dan menantu beliau - Nurulhidayah dan Saiful Nizam Mohd Yusoff - serta adik tirinya, Mohamad Nasaee Ahmad Tarmizi turut dipanggil untuk memberi keterangan sebelum ini.
- Agensi berita/AI/ai