Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Ahmad Zahid dikenakan 33 tuduhan rasuah berjumlah S$13.9 juta

Mantan Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi sekali lagi dihadapkan ke Mahkamah Sesyen hari ini (27 Jun), kali ini dengan 33 tuduhan menerima rasuah berjumlah RM42.76 juta (S$13.96 juta) daripada sebuah syarikat berhubung Sistem Visa Luar Negara (VLN). 

Anggaran Waktu Membaca:
Ahmad Zahid dikenakan 33 tuduhan rasuah berjumlah S$13.9 juta

Mantan Timbalan Perdana Menteri Malaysia Ahmad Zahid Hamidi. (Gambar: Bernama)

Diterbitkan : 27 Jun 2019 01:52PM Dikemas Kini : 27 Jun 2019 02:07PM

SHAH ALAM: Mantan Timbalan Perdana Menteri Malaysia Ahmad Zahid Hamidi sekali lagi dihadapkan ke Mahkamah Sesyen hari ini (27 Jun), kali ini dengan 33 tuduhan menerima rasuah berjumlah RM42.76 juta (S$13.96 juta) daripada sebuah syarikat berhubung Sistem Visa Luar Negara (VLN).

Dr Ahmad Zahid, 66 tahun, bagaimanapun tidak mengaku bersalah selepas kesemua tuduhan dibacakan terhadapnya oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Rozilah Salleh.

Semalam, Dr Ahmad Zahid tidak mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas tujuh tuduhan rasuah berhubung perkara sama berjumlah S$4.24 juta dan ini menjadikan jumlah keseluruhan pertuduhan yang dihadapi Ahmad Zahid melibatkan visa sebanyak 40 tuduhan.

Bagi 26 tuduhan, presiden UMNO itu didakwa menerima sogokan dari Syarikat Ultra Kirana Sdn Bhd berjumlah S$9.32 juta sebagai dorongan untuk dirinya sebagai seorang pegawai badan awam iaitu Menteri Dalam Negeri di Kementerian Dalam Negeri Malaysia (KDN), melanjutkan kontrak syarikat itu sebagai pengendali Perkhidmatan One Stop Centre (OSC) di negara China dan Sistem VLN serta didakwa mengekalkan kontrak perjanjian untuk membekalkan sistem bersepadu VLN kepada syarikat sama oleh KDN.

Beliau dituduh melakukan kesemua kesalahan itu di 389, Jalan Bayu Nyaman, Country Heights, Kajang antara Oktober 2014 hingga Julai 2017.

Tuduhan mengikut Seksyen 16 (a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (SPRM) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (1) akta sama, yang mengenakan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai sogokan atau RM10,000 (S$3,264), mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Bagi tujuh tuduhan lagi, Dr Ahmad Zahid didakwa sebagai seorang pegawai badan awam iaitu Menteri Dalam Negeri di Kementerian Dalam Negeri Malaysia mendapat untuk dirinya satu benda berharga iaitu wang tunai S$150,000, RM325,000 (S$106,110), €15,000 (S$23,076) dan AS$15,000 (S$20,330) tanpa balasan dari syarikat sama yang mempunyai hubungan dengan kerja rasmi tertuduh.

Dr Ahmad Zahid didakwa melakukan kesalahan itu di tempat sama antara Jun 2015 dan April 2017 mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun, atau dengan denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Mohd Mukhzany Fariz Mohd Mokhtar yang mengendalikan pendakwaan menawarkan jaminan sebanyak RM1 juta (S$326,433) dengan seorang penjamin manakala peguam Kitson Foong yang mewakili Ahmad Zahid tidak bersetuju dengan jumlah itu dan memohon jumlah yang munasabah.

Rozilah membenarkan Dr Ahmad Zahid dibebaskan dengan jaminan RM500,000 (S$163,234) serta seorang penjamin dan menetapkan 29 Julai untuk sebutan semula kes.

Pada 19 Oktober dan 14 Disember 2018 serta 20 Februari lepas, Dr Ahmad Zahid tidak mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur terhadap 47 tuduhan dengan 12 tuduhan pecah amanah, lapan tuduhan rasuah dan 27 pengubahan wang haram melibatkan puluhan juta ringgit milik Yayasan Akalbudi.

Kesnya kemudian dipindahkan ke Mahkamah Tinggi dan mahkamah itu menetapkan 18 November hingga 22 November, 2 Disember hingga 6 Disember dan 9 Disember hingga 13 Disember untuk perbicaraan. 

Sumber : Bernama/ZM/zm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan