Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Ahmad Zahid didakwa sekali lagi atas tuduhan tambahan pecah amanah

Presiden UMNO Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini (20 Feb) didakwa sekali lagi di Mahkamah Sesyen atas satu pertuduhan tambahan pecah amanah wang berjumlah RM260,000 (S$351,000) milik Yayasan Akalbudi, tiga tahun lalu.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 20 Feb 2019 01:41PM Dikemas Kini : 21 Feb 2019 12:26AM

KUALA LUMPUR: Presiden UMNO Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini (20 Feb) didakwa sekali lagi di Mahkamah Sesyen atas satu pertuduhan tambahan pecah amanah wang berjumlah RM260,000 (S$351,000) milik Yayasan Akalbudi, tiga tahun lalu.

Dr Ahmad Zahid, mantan Timbalan Perdana Menteri Malaysia, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan tambahan itu dibacakan di hadapan Hakim Azura Alwi.

Pertuduhan tambahan itu menjadikan pertuduhan yang dihadapi Dr Ahmad Zahid kini berjumlah 47 pertuduhan, iaitu 12 pertuduhan pecah amanah, lapan pertuduhan rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram.

Dr Ahmad Zahid, 66 tahun, tiba di mahkamah kira-kira 8.40 pagi kelihatan tenang sebaik sahaja pertuduhan itu dibacakan terhadapnya.

Mengikut pertuduhan tambahan itu, beliau didakwa sebagai seorang ejen iaitu Pemegang Amanah Yayasan Akalbudi yang diamanahkan dengan harta iaitu wang sejumlah RM260,000 (S$351,000) milik Yayasan Akalbudi, sebagai melakukan pecah amanah wang itu dengan curangnya membuat pembayaran kepada TS Consultancy Resources.

Beliau dituduh melakukan perbuatan itu pada 23 Disember 2016 mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan dengan sebatan. Beliau juga boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Sazilee Abdul Khairi berkata pihak pendakwaan tidak menawarkan jaminan kerana mengguna pakai jaminan dalam kes terdahulu.

“Pihak pendakwaan hari ini telah menyerahkan dua set dokumen mengikut Seksyen 51A Kanun Tatacara Jenayah kepada pihak pembelaan,” katanya.

Peguam Hamidi Mohd Noh, yang mewakili Dr Ahmad Zahid, mengesahkan perkara tersebut.

Mahkamah menetapkan 28 Februari untuk sebutan semula kes.

Pada 19 Oktober dan 14 Disember lalu, Dr Ahmad Zahid mengaku tidak bersalah atas 46 pertuduhan iaitu 11 pertuduhan pecah amanah, lapan pertuduhan rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram, yang melibatkan berpuluh-puluh juta ringgit milik Yayasan Akalbudi.

Dr Ahmad Zahid diikat jamin keseluruhan RM2 juta (S$664,100), dengan seorang penjamin selain pasportnya diserahkan kepada mahkamah.

Sumber : Bernama/AI/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan