Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Ahli perniagaan saman Najib, Rosmah dan 2 lagi lebih RM600 juta

Ahli perniagaan, J.R. Deepak Jaikishan, memfailkan saman menuntut ganti rugi lebih RM600 juta (S$200 juta) terhadap mantan perdana menteri Malaysia, Najib Razak dan isterinya, Rosmah Mansor, serta dua lagi berhubung dakwaan tort konspirasi sehingga beliau mengalami kerugian.

Anggaran Waktu Membaca:
Ahli perniagaan saman Najib, Rosmah dan 2 lagi lebih RM600 juta

Mantan Perdana Menteri Malaysia, Najib Razak dan isteri beliau, Rosmah Mansor. (Gambar: Reuters)

Diterbitkan : 17 Oct 2018 11:06PM Dikemas Kini : 17 Oct 2018 11:09PM

KUALA LUMPUR: Ahli perniagaan, J.R. Deepak Jaikishan, memfailkan saman menuntut ganti rugi lebih RM600 juta (S$200 juta) terhadap mantan perdana menteri Malaysia, Najib Razak dan isterinya, Rosmah Mansor, serta dua lagi berhubung dakwaan tort konspirasi sehingga beliau mengalami kerugian.

Deepak Jaikishan, 46 tahun, memfailkan saman itu pada Jumaat lalu (12 Okt) di Mahkamah Tinggi Sivil di Kuala Lumpur melalui Tetuan Haniff Khatri dengan menamakan Encik Najib, Cik Rosmah, Boustead Holdings Berhad dan Bakti Wira Development Sdn Bhd sebagai defendan pertama hingga keempat.

Mengikut penyataan tuntutan, plaintif mendakwa beliau adalah mantan pengarah dan pemilik saham majoriti syarikat Astacanggih Sdn Bhd dan pemilik saham minoriti di syarikat Awan Megah (M) Sdn Bhd, manakala Bakti Wira Development adalah anak syarikat Boustead Holdings.

Encik Jaikishan mendakwa beliau mengambil tindakan itu untuk menuntut pelbagai kerugian yang dialaminya akibat tort konspirasi dan pengaruh tidak wajar semua defendan.

Plaintif mendakwa melalui perjanjian penswastaan pada 8 Jun 2005, Awan Megah memasuki perjanjian dengan kerajaan dan Syarikat Tanah Dan Harta Sdn Bhd (STH) untuk membina Pusat Pengajian Pertahanan Nasional (PUSPAHANAS).

Plaintif mendakwa pembinaan itu akan dilaksanakan di dua tanah milik kerajaan Selangor di Kapar, Klang serta di Bukit Raja, dan Awan Megah menawarkan Astacanggih untuk membeli tanah itu dengan harga RM118.5 juta (S$39.2 juta) melalui perjanjian perolehan yang ditandatangani kedua-dua pihak pada 16 Mei 2007.

Beliau mendakwa sebagai balasan, Astacanggih perlu membayar deposit RM13 juta (S$4.31 juta) kepada Awan Megah.

Beliau berkata Awan Megah melalui Raja Ropiaah Raja Abdullah, iaitu Pengarah dan pemilik saham terbesar Awan Megah, perlu memasuki Perjanjian Pegangan Saham antara pemegang saham Astacanggih iaitu dengan plaintif, Ikhwan Salim Sujak dan Mohd Shukri Abdullah, di mana saham 20 peratus iaitu bernilai RM4 juta (S$1.32 juta) akan diberikan kepada Cik Raja Ropiaah di dalam Astacanggih.

Plaintif mendakwa pada masa itu, Cik Raja Ropiaah merupakan Ketua Wanita UMNO Selangor dan merupakan rakan baik dan/atau proksi dan kroni kepada Encik Najib dan isterinya.

Encik Deepak mendakwa, Cik Raja Ropiaah gagal mematuhi perjanjian perolehan dan gagal memberi geran asal bagi semua tanah itu untuk dipindah milik kepada Astacanggih, sekaligus menyebabkan tanah itu tidak dapat ditukar hak milik kepada Astacanggih sehingga kini.

Encik Deepak mendakwa akibat konspirasi itu, beliau mengalami kerugian hampir RM510 juta (S$170 juta) dan oleh itu, beliau memohon ganti rugi am RM600 juta (S$200 juta), teladan RM50 juta (S$16.6 juta), ganti rugi berpanjangan RM26 juta (S$8.6 juta) dan kos serta relif lain yang difikirkan wajar oleh mahkamah.

Sumber : Bernama/AI/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan