Images
  • donald trump (1)
    Presiden AS Donald Trump. (Gambar fail: Tom Brenner/REUTERS)

Ahli parlimen Norway calonkan Donald Trump untuk Hadiah Keamanan Nobel

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, mendedahkan bahawa beliau dicalonkan oleh seorang ahli politik sayap kanan Norway untuk Hadiah Keamanan Nobel 2021.

Beliau mengucapkan terima kasih dalam satu ciapan di Twitter untuk meraikan pencalonan yang merujuk kepada peranannya dalam membantu Israel dan Amiriah Arab Bersatu (UAE) menjalin hubungan diplomatik.

Anggota Parlimen Norway, Christian Tybring-Gjedde, berkata beliau mencalonkan ahli politik Republican itu kerana "perjanjian unik dan bersejarah antara Israel dengan UAE - satu perjanjian yang kami harap boleh diperluaskan ke negara-negara Arab lain agar kami boleh memiliki keamanan berkekalan di Timur Tengah."

Seorang anggota Parti Kemajuan berhaluan sayap kanan dan anti-pendatang, Tybring-Gjedde merupakan timbalan pengerusi jawatankuasa parlimen Norway mengenai ehwal luar dan pertahanan.

Beliau bersama seorang lagi anggota parlimen pernah mencadangkan Encik Trump bagi Hadiah Keamanan Nobel 2018 kerana menjalin hubungan baik dengan Korea Utara, namun pencalonannya tidak berjaya.

Saban tahun, ratusan orang dicalonkan untuk anugerah terebut tetapi tiada jaminan mereka akan menang.

Institut Nobel Norway mengalu-alukan semua cadangan asalkan ia dihantar menjelang 31 Januari untuk tahun itu dan dikemukakan oleh mereka yang layak membuat pencalonan termasuk anggota parlimen sesebuah negara.

Menurut Encik Tybring-Gjedde, Encik Trump lebih layak diberi pengiktirafan itu berbanding ramai pemenang masa lalu kerana peranannya dalam menghuraikan kebuntuan antara Israel dengan sebuah kuasa rantau Arab. 

- AFP/NA/na

Top