Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Agong temui 222 Ahli Parlimen satu persatu

Yang di-Pertuan Agong Malaysia Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mengadakan pertemuan dengan 222 Ahli Parlimen untuk sesi temu bual peribadi bermula Selasa (25 Feb).

Anggaran Waktu Membaca:
Agong temui 222 Ahli Parlimen satu persatu

Istana Negara (Gambar: Vincent Tan/Mediacorp)

Diterbitkan : 25 Feb 2020 03:56PM Dikemas Kini : 25 Feb 2020 04:01PM

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong Malaysia Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mengadakan pertemuan dengan 222 Ahli Parlimen untuk sesi temu bual peribadi.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Ahmad Fadil Shamsuddin berkata temu bual ringkas kira-kira dua ke tiga minit seorang bertujuan mendapatkan maklum balas serta pendapat setiap anggota Dewan Rakyat mengenai situasi politik negara.

Temu bual yang akan disaksikan oleh Ketua Setiausaha Negara Mohd Zuki Ali itu, melibatkan dua kumpulan iaitu 90 Ahli Parlimen untuk sesi hari ini (25 Feb) dan 132 lagi bagi sesi esok.

Encik Ahmad Fadil berkata sesi temu bual pada hari ini dijadual bermula pukul 2.30 petang.

Encik Ahmad Fadil berkata, kesemua Ahli Parlimen yang hadir tidak akan dibahagikan mengikut parti masing-masing kerana ia melibatkan individu.

“Semuanya akan dipanggil. Tiada yang terkecuali. Lepas itu, mereka akan dipanggil seorang demi seorang.

“Saya percaya ini yang pertama kali berlaku dalam peringkat Persekutuan. Seri Paduka Baginda ingin melaksanakan temuduga ini secara telus supaya media tidak membuat sebarang spekulasi. Kita akan berkongsi (maklumat perkembangan terkini) dari semasa ke semasa,” katanya.

“Apa yang dipraktikkan oleh Seri Paduka adalah selaras dengan Perlembagaan Persekutuan yang mana Artikel 43 (2) menyatakan Baginda perlu mendapat kepercayaan, keyakinan seseorang yang telah dipilih dan ia adalah menerusi temu bual ini,” katanya.

Kepada soalan sama ada Perdana Menteri Interim Dr Mahathir Mohamad akan hadir pada sesi temuduga itu, Encik Ahmad Fadil berkata: “beliau telahpun menghadap Yang di-Pertuan Agong semalam, jadi saya rasa itu tidak perlu”.

Encik Ahmad Fadil berkata, Sultan Abdullah turut berkata bahawa keadaan negara ketika ini aman dan proses keamanan ini akan terus terjamin di bawah pemerintahan Yang di-Pertuan Agong. 

Sumber : Bernama/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan