Images
  • agong
    (Gambar: Bernama)

Agong M'sia gesa ahli politik tamatkan ketidaktentuan di tengah-tengah pergelutan kuasa

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menasihati semua rakyat khususnya ahli politik untuk bermuhasabah agar negara tidak sekali lagi diheret ke kancah politik tidak menentu.

Menurut kenyataan Istana yang dikeluarkan pada Jumaat (16 Okt), Sultan Abdullah memberi ingatan itu kerana negara masih lagi berhadapan dengan pelbagai masalah dan masa depan yang sukar akibat ancaman pandemik COVID-19.

Sultan Abdullah juga mengulangi nasihat kepada ahli-ahli Parlimen supaya mempamerkan kematangan dalam berpolitik dan memahami serta menjiwai keluh-kesah rakyat dan tidak mengabaikan kesejahteraan rakyat, yang ditegaskan semasa Istiadat Perasmian Pembukaan Penggal Ketiga Parlimen ke-14 pada Mei lepas.

Beliau turut menegaskan bahawa ahli-ahli politik seharusnya tidak mengakhiri perbezaan pendapat dengan permusuhan.

Sebaliknya, beliau berkata mereka perlu menyelesaikan permasalahan melalui perundingan dan proses perundangan yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.   

“Mengambil keberkatan bersempena hari Jumaat yang mulia ini, Al-Sultan Abdullah turut menyeru seluruh rakyat berdoa semoga negara yang kita cintai bersama ini dikurniakan keamanan dan ketenangan agar kemakmuran dan kesejahteraan negara serta rakyat sentiasa terjamin,” katanya.

- BERNAMA/NA/na

Top