Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Agong laksana 'amanah berat' lantik PM ke-9, berpandu Perlembagaan Persekutuan

Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan perasaan puas hati dengan kepercayaan yang diberikan oleh 114 Ahli Dewan Rakyat kepada Ismail Sabri Yaakob untuk dilantik sebagai Perdana Menteri ke-9.

Anggaran Waktu Membaca:
Agong laksana 'amanah berat' lantik PM ke-9, berpandu Perlembagaan Persekutuan

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah (Gambar: BERNAMA)

Diterbitkan : 13 Sep 2021 12:46PM Dikemas Kini : 13 Sep 2021 12:49PM

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan perasaan puas hati dengan kepercayaan yang diberikan oleh 114 Ahli Dewan Rakyat kepada Ismail Sabri Yaakob untuk dilantik sebagai Perdana Menteri ke-9, lapor Astro Awani.

Menyingkap kembali situasi politik Malaysia sebelum ini, Sultan Abdullah berkata negara menyaksikan peletakan jawatan Perdana Menteri kelapan Muhyiddin Yassin pada 16 Ogos lalu, kali kedua dalam tempoh pemerintahan Sultan Abdullah, lapor BERNAMA.

Seperti yang berlaku pada 2020 ekoran peletakan jawatan Perdana Menteri ketujuh Dr Mahathir Mohamad, Yang di-Pertuan Agong menekankan amanah berat untuk memilih dan melantik Perdana Menteri kesembilan dilaksanakan dengan berpandu kepada Perlembagaan Persekutuan.

“Selaras dengan konsep Raja Berperlembagaan dan demokrasi berparlimen, beta telah memberi peluang kepada semua 220 Ahli Dewan Rakyat untuk menamakan menerusi surat akuan seorang Ahli Dewan Rakyat yang diberi kepercayaan untuk dilantik sebagai Perdana Menteri,” kata Sultan Abdullah.

Yang di-Pertuan Agong berkata setelah mendapati 114 Ahli Dewan Rakyat memberi kepercayaan dengan kerelaan mereka sendiri serta tanpa sebarang paksaan, Ahli Parlimen Bera Ismail Sabri Yaakob dilantik sebagai Perdana Menteri kesembilan.

Dalam ucapannya itu, Sultan Abdullah turut menzahirkan penghargaan kepada Encik Muhyiddin dan barisan Ahli Jemaah Menteri lalu yang menerajui pentadbiran negara mengharungi cabaran pandemik COVID-19 yang getir.

Mengakhiri ucapannya, Yang di-Pertuan Agong turut menitipkan tiga rangkap pantun sebagai pesanan tulus ikhlas buat Ahli-Ahli kedua-dua dewan yang antaranya supaya mereka ikhlas berbakti agar rakyat tidak gusar dan bimbang selain memartabatkan semula maruah negara.

LAPORAN BERKAITAN:

Sumber : Agensi berita/BERNAMA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan