Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Agenda belia antara tema utama Manifesto BN, kata Ahmad Zahid

Agenda belia akan menjadi satu daripada tema utama dalam manifesto Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Anggaran Waktu Membaca:
Agenda belia antara tema utama Manifesto BN, kata Ahmad Zahid

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamid (tiga, kanan) melaungkan 'Hidup BN' bersama orang ramai sejurus tiba pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Dewan Terbuka Kompleks Uthmaniah pada 16 Mac lalu. (Gambar: BERNAMA)

Diterbitkan : 18 Mar 2018 03:22PM Dikemas Kini : 18 Mar 2018 03:33PM

GEORGE TOWN: Agenda belia akan menjadi satu daripada tema utama dalam manifesto Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata bahawa antara perkara yang akan diberi tumpuan dalam agenda belia itu adalah isu perumahan, peluang pekerjaan dan pelibatan belia dalam menyelesaikan pelbagai isu.

"Saya amat teruja apabila Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin menyarankannya dalam manifesto PRU akan datang...selain manifesto BN jadi agenda utama, saya bersetuju adanya segmen penting untuk belia,” katanya semasa berucap bagi merasmikan majlis Jamuan Malam Sanjungan Kasih Alumni 4B Negeri Pulau Pinang semalam (18 Mac).

TPM Ahmad Zahid berkata bahawa sebagai pengerusi bagi penyediaan manifesto BN, beliau akan memastikan segmen belia menjadi satu daripada tema utama dalam manifesto PRU14 sebagai tanda komitmen BN kepada belia.

Beliau berkata bahawa generasi belia masa kini berbeza dengan generasi sebelumnya kerana mereka lebih terdedah kepada saluran komunikasi seperti media sosial.

Justeru, TPM Ahmad Zahid mahu Alumni 4B meneruskan kesinambungan dengan merapatkan jurang perbezaan persepsi dan pemikiran dengan generasi masa kini.

Beliau selanjutnya berkata bahawa apabila berlaku jurang persepsi, generasi masa kini sering menganggap generasi alumni sebagai tidak relevan.

"Alumni 4B perlu merelevankan pemikiran dengan kaedah dan cara pemikiran mereka. Berita, ilmu dan membuat keputusan turut berubah. Persatuan belia harus bergerak di dalam sebuah wadah yang lebih relevan dengan situasi semasa, biarpun kita masih mengekalkan nilai-nilai tradisional.

"Kesinambungan yang saya harapkan agar jurang tidak terlalu luas antara kita dengan generasi kini," katanya.

Beliau menambah bahawa Alumni 4B juga perlu memainkan peranan sebagai pemandu arah untuk generasi belia masa kini, selain memberikan suntikan semangat dan motivasi kepada mereka untuk terus bergerak cergas dalam sesebuah pertubuhan.

Sumber : Bernama/SM/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan