Images
  • covid-19 south africa
    Kakitangan kesihatan imbas suhu badan di luar sebuah hospital di Afrika Selatan pada 11 Jan 2021 (Gambar: AP/Themba Hadebe)

Afrika Selatan kesan varian baru COVID-19, kesannya belum jelas

JOHANNESBURG: Saintis di Afrika Selatan mengesan varian baru COVID-19 dalam jumlah yang kecil dan sedang cuba untuk memahami potensi implikasinya, menurut mereka pada Khamis (25 Nov).

Varian itu - dipanggil B.1.1.529 - mempunyai kombinasi mutasi "sangat luar biasa", yang membimbangkan kerana ia boleh membantunya mengelak tindak balas imun tubuh dan menjadikannya lebih mudah merebak, jelas saintis kepada wartawan dalam satu sidang media.

Tanda-tanda awal dari makmal diagnostik menunjukkan varian itu bertambah dengan pesat di wilayah Gauteng yang padat penduduk dan mungkin sudah berada di lapan wilayah lain di negara itu, kata mereka.

Afrika Selatan mengesahkan sekitar 100 spesimen sebagai B.1.1.529, namun varian itu juga dikesan di Botswana dan Hong Kong, dengan kes di Hong Kong melibatkan pelawat dari Afrika Selatan. Para saintis percaya sebanyak 90 peratus kes baru di Gauteng mungkin adalah varian B.1.1.529.

"Meskipun datanya terhad, pakar kami sedang bekerja keras dengan semua sistem pengawasan yang ada untuk memahami varian baru itu dan apakah implikasi yang mungkin berlaku," kata Institut Nasional bagi Penyakit Berjangkit Afrika Selatan dalam satu kenyataan.

Afrika Selatan meminta mesyuarat segera kumpulan kerja Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengenai evolusi virus diadakan pada Jumaat untuk membincangkan varian baru itu.

Menteri Kesihatan Joe Phaahla berkata masih terlalu awal untuk menentukan sama ada pemerintah akan mengenakan sekatan lebih ketat sebagai tindak balas terhadap varian itu.

Afrika Selatan adalah negara pertama yang mengesan varian Beta pada tahun lalu.

Beta adalah salah satu daripada empat varian yang dilabelkan sebagai "membimbangkan" oleh WHO kerana terdapat bukti bahawa ia lebih mudah berjangkit dan vaksin didapati kurang berkesan terhadapnya.

Negara itu mengesan varian lain, C.1.2, awal tahun ini, tetapi ia tidak menggantikan varian Delta yang lebih lazim dikesan dan masih hanya membentuk peratusan kecil genom yang dijujukan dalam beberapa bulan kebelakangan ini.

- Reuters/TQ/tq

Top