Images
  • taliban
    Perwakilan Taliban di perbincangan bersama para utusan EU dan AS di Doha. (Gambar: AFP)

Afghanistan di ambang musibah kemanusiaan; Taliban bertemu wakil EU-AS rayu sokongan

DOHA: Taliban mengadakan perbincangan secara bertemu muka dengan para utusan dari Kesatuan Eropah (EU) dan Amerika Syarikat (AS) sedang kumpulan tegar itu meneruskan gesaan diplomatiknya untuk meraih sokongan antarabangsa.

Para pemimpin baru Afghanistan itu berusaha mendapatkan pengiktirafan serta bantuan untuk mengelak daripada terjerumus ke musibah kemanusiaan setelah mereka kembali berkuasa pada Ogos lalu menyusuli pengunduran tentera AS selepas peperangan dua dekad.

Ketua PBB Antonio Guterres menggesa dunia supaya menghulurkan dana kepada Afghanistan untuk menangani keruntuhan ekonomi tetapi beliau juga menghentam Taliban kerana memungkiri janji kepada kaum wanita dan perempuan.

Qatar, yang sekian lama menjadi tuan rumah kepada pejabat politik Taliban, bertindak selaku pemudah cara bagi perbincangan di Doha itu.

Jurucakap Kesatuan Eropah (EU), Nabila Massrali, berkata mesyuarat itu akan "membolehkan pihak AS dan Eropah menangani isu-isu" termasuk perjalanan percuma bagi mereka yang mahu meninggalkan Afghanistan, akses kepada bantuan kemanusiaan, hormat terhadap hak asasi kaum hawa dan mencegah Afghanistan daripada menjadi medan kumpulan "pengganas".

"Ini adalah pertukaran tidak rasmi di peringkat teknikal. Ia tidak melibatkan pengiktirafan 'pemerintah sementara' itu," kata beliau.

Taliban secara terdesak memerlukan bantuan kerana ekonomi Afghanistan kini dalam keadaan bahaya dan tidak menentu dengan bantuan antarabangsa terputus, harga makanan melonjak dan pengangguran meningkat.

Rejim itu, yang masih belum lagi diiktiraf sebagai sebuah pemerintah sah oleh mana-mana negara lain, juga berdepan ancaman kesealamatan daripada kumpulan ISIS-K, yang sudah melancarkan satu siri serangan maut.

"Kami mahukan hubungan positif dengan seluruh dunia," kata pemangku menteri ehwal luar Taliban, Amir Khan Muttaqi, di perbincangan tersebut.

"Kami percaya pada hubungan antarabangsa yang seimbang. Kami yakin hubungan seimbang seumpama itu boleh menyelamatkan Afghanistan daripada ketidakstabilan," kata Encik Muttaqi. Beliau memimpin rombongan Taliban pada Sabtu bagi mengadakan perbincangan pertama secara bertemu muka dengan para pegawai AS sejak Amerika mengundurkan diri dari Afghanistan.

CEGAH "KERUNTUHAN"

Sebelum perbincangan pada Selasa, Ketua Dasar Luar EU Josep Borrell berkata perkumpulan itu mahu meningkatkan bantuan langsung kepada rakyat Afghanistan dalam usaha untuk mencegah "keruntuhan".

Masyarakat antarabangsa sedang menghadapi tindakan penyeimbangan yang sukar untuk cuba menyampaikan bantuan yang amat diperlukan kepada rakyat Afghanistan tanpa mengiktiraf pemerintah Taliban.

Encik Guterres menekankan rasa tidak puas hatinya dengan Taliban berhubung layanannya terhadap kaum wanita walaupun ia berikrar tidak akan mengulangi pemerintahan tegarnya seperti dulu kala.

"Saya terutamanya khuatir melihat janji-janji yang dibuat kepada wanita dan kanak-kanak perempuan oleh Taliban tidak dikotakan," beliau memberitahu wartawan.

Budak lelaki Afghanistan dibenarkan untuk kembali ke sekolah menengah tiga minggu lalu tetapi budak perempuan diberitahu supaya duduk di rumah, begitu juga buat guru wanita, di kebanyakan tempat di negara itu. Namun, kanak-kanak perempuan boleh menghadiri sekolah rendah.

Ketika ditanya tentang pengecualian kanak-kanak perempuan, Encik Muttaqi berkata sekolah ditutup kerana COVID-19 - satu ancaman yang menurut beliau sudah reda.

"COVID-19... sudah terkawal dan kes jangkitannya adalah amat rendah. Dengan pengurangan risiko, pembukaan sekolah sudahpun bermula dan setiap hari ia meningkat," ujarnya lanjut.

Encik Muttaqi juga bertegas tiada diskriminasi terhadap masyarakat Syiah dan mendakwa ISIS-K sudah berhasil dikawal.

"Apa-apa persediaan yang telah mereka lakukan sudahpun dileburkan 98 peratus," katanya. 

- AFP/FZ/fz

Top