Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Ada pihak tempah slot AstraZeneca bagi individu lain tanpa persetujuan

Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (CITF) mendapati ada pihak yang menempah slot vaksin AstraZeneca bagi individu lain tanpa persetujuan.

Anggaran Waktu Membaca:
Ada pihak tempah slot AstraZeneca bagi individu lain tanpa persetujuan

(Gambar: Bernama)

Diterbitkan : 29 May 2021 08:10AM Dikemas Kini : 29 May 2021 08:15AM

KUALA LUMPUR: Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (CITF) mendapati ada pihak yang menempah slot vaksin AstraZeneca bagi individu lain tanpa persetujuan.

Menurut kenyataan badan itu pada Jumaat (28 Mei), penemuan berdasarkan semakan yang dijalankan susulan aduan yang diterima, ada sebilangan individu yang telah diberikan janji temu walaupun tidak pernah membuat tempahan ketika slot dibuka tempoh hari.

“Antara aduan yang diterima ialah janji temu yang telah diberikan sebelum ini di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) bukan AstraZeneca, telah digantikan dengan janji temu vaksin AstraZeneca.

“Hasil semakan dan siasatan awal mendapati bahawa beberapa slot vaksin AstraZeneca telah ditempah bagi pihak orang lain dalam jumlah yang ramai, tanpa terlebih dahulu mendapat persetujuan individu terbabit, khususnya untuk menerima vaksin AstraZeneca,” kata CITF.

CITF mendapati tempahan dalam jumlah yang ramai telah dilakukan menerusi beberapa alamat Internet Protokol (IP) yang sama dan telah menghubungi SElangkah yang merupakan antara pihak yang telah membuat tempahan slot dalam jumlah yang besar.

“Pihak SELangkah turut memaklumkan bahawa mereka telah membuat tempahan bagi slot AstraZeneca tanpa terlebih dahulu membuat semakan sama ada individu dalam pangkalan data ImuniSEL setuju untuk menerima vaksin AstraZeneca dan menggantikan janji temu yang telah diberi sebelum ini, sekiranya ada.

“Pihak SELangkah telah memberi jaminan untuk bekerjasama dengan CITF bagi menyelesaikan isu berbangkit ini dan memastikan bahawa individu yang terbabit akan mendapatkan balik janji temu yang sebelumnya,” demikian menurut kenyataan itu.

Badan itu turut mendedahkan bahawa kesulitan yang timbul akan diatasi sebaik mungkin dan akan bekerjasama dengan pelbagai pihak bagi memastikan lebih ramai individu menerima vaksin dan sasaran imuniti kelompok dapat dicapai.

Rabu lalu, satu juta slot untuk pusingan kedua tempahan janji temu vaksin AstraZeneca bagi penduduk di Johor, Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Sarawak dan Selangor yang berumur bawah 60 tahun penuh dalam tempoh 90 minit sebaik tempahan dibuka.

Pada 23 Mei lalu, slot tempahan vaksinasi AstraZeneca dibuka untuk mereka yang berusia 60 tahun ke atas.

Sumber : Bernama/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan