Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

98 anak Kapal Diraja Mahawangsa M'sia disahkan positif COVID-19

Kementerian Pertahanan Malaysia mengesahkan seramai 98 anak Kapal Diraja (KD) Mahawangsa positif COVID-19.

Anggaran Waktu Membaca:
98 anak Kapal Diraja Mahawangsa M'sia disahkan positif COVID-19

Kapal Diraja Mahawangsa. (Gambar fail: Markas Wilayah Laut 2/Facebook)

Diterbitkan : 09 Jun 2021 08:31PM Dikemas Kini : 09 Jun 2021 08:37PM

KUALA LUMPUR: Kementerian Pertahanan Malaysia mengesahkan seramai 98 anak Kapal Diraja (KD) Mahawangsa positif COVID-19.

Menteri Kanan Pertahanan Ismail Sabri Yaakob berkata semua anak kapal berkenaan menjalani ujian RTK Antigen COVID-19 sebelum menaiki kapal berkenaan dan didapati negatif.

"Selepas berada beberapa hari di dalam kapal, mereka didapati positif. Setakat ini, semua anak kapal terlibat tidak mengalami sebarang simptom dan mereka telah diasingkan dan kini menjalani kuarantin.

"Insya-Allah selepas 10 hari mereka akan menjalani ujian PCR dan jika negatif, mereka akan dibenarkan keluar," kata Encik Ismail Sabri di sidang media selepas melakukan tinjauan di Pusat Pemberian Vaksin Pandu Lalu Tentera Darat di Kem Perdana Sungai Besi di Kuala Lumpur pada Selasa (8 Jun).

Encik Ismail Sabri berkata pihaknya belum dapat memastikan bagaimana anak kapal KD berkenaan dijangkiti virus COVID-19.

“Seperti kita tahu, COVID-19 kini berada dalam komuniti. Anak kapal ini dijangkiti COVID-19 sebelum mereka pergi belayar, mungkin ketika mereka berada di rumah atau ketika keluar membeli barang di kedai," ujar beliau.

Dalam pada itu, Encik Ismail Sabri berkata pihaknya sedang dalam perbincangan dengan Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Vaksin COVID-19 Kebangsaan untuk membenarkan Kementerian Pertahanan mendapatkan bekalan vaksin secara langsung daripada Pharmaniaga Berhad yang bertanggungjawab membotolkan vaksin jenama Sinovac.

Beliau menjelaskan dengan kaedah itu, imuniti berkelompok bagi anggota tentera, kakitangan awam yang bekerja di Kementerian Pertahanan dan keluarga dapat dicapai dengan segera.

"Secara amnya, kita mempunyai seramai 500,000 orang anggota termasuk keluarga mereka. Kita sasarkan seramai 200,000 orang menerima vaksin sebulan dan mencapai imuniti dalam tempoh tiga bulan," katanya. 

Sumber : Bernama/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan