Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

96 kes mencuri di masjid Terengganu: Polis gesa masjid buat aduan berhubung jenayah

Polis meminta kesemua mangsa dan ahli jawatankuasa masjid tampil membuat laporan berhubung kejadian jenayah di masjid meskipun hanya membabitkan nilai kerugian kecil.

Anggaran Waktu Membaca:
96 kes mencuri di masjid Terengganu: Polis gesa masjid buat aduan berhubung jenayah

Gambar fail kereta polis Malaysia. (Gambar: MANAN VATSYAYANA/AFP)

Diterbitkan : 18 Dec 2017 07:40PM Dikemas Kini : 18 Dec 2017 07:42PM

KUALA TERENGGANU: Polis meminta kesemua mangsa dan ahli jawatankuasa masjid tampil membuat laporan berhubung kejadian jenayah di masjid meskipun hanya membabitkan nilai kerugian kecil.

Ketua Polis Terengganu Datuk Aidi Ismail berkata laporan itu penting bagi membantu polis menjalankan siasatan dan membanteras jenayah di kawasan terlibat.

“Laporan perlu dibuat kerana jika tidak dibendung ia memberi kesan buruk kepada imej masjid di Terengganu. Malah kebanyakan individu yang menjalankan kegiatan tersebut juga terbabit dengan penyalahgunaan dadah,” katanya hari ini (18 Dis).

Hingga kini, sebanyak 96 kes kecurian di masjid direkodkan membabitkan 56 kes kehilangan motosikal, 33 kecurian barangan jemaah dan masjid serta tujuh kes kecurian kereta.

Berdasarkan laporan itu, sebanyak 48 tangkapan dibuat membabitkan 47 lelaki dan seorang wanita, manakala 14 daripadanya didapati penagih dadah.

Mengulas mengenai video seorang lelaki memakai telekung solat sebelum bertindak melarikan beg tangan seorang jemaah wanita semasa solat subuh di masjid Wakaf Tembesu, Kuala Nerus yang tular baru-baru ini, Datuk Aidi berkata pihaknya masih memburu lelaki itu.

“Memandangkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) kurang jelas menyebabkan nombor pendaftaran kenderaan suspek gagal dikenal pasti. Bagaimanapun kami meminta semua ahli jawatankuasa masjid seluruh negeri merekodkan nombor pendaftaran kenderaan jenis produa Myvi berwarna putih yang mencurigakan bagi membantu mengesan suspek,” katanya.

Beliau turut meminta ahli jawatankuasa masjid mengosongkan tabung sumbangan orang ramai setiap kali selesai solat bagi memastikan masalah kecurian dapat dibendung. 

Sumber : Bernama/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan