Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

945 belia di M'sia diisytihar muflis tahun ini

Seramai 945 belia yang berusia antara 18 hingga 35 tahun diisytihar muflis bagi tempoh Januari hingga Julai tahun ini, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Shabudin Yahaya.

Anggaran Waktu Membaca:
945 belia di M'sia diisytihar muflis tahun ini

(Gambar: Bernama)

Diterbitkan : 10 Sep 2020 04:50PM Dikemas Kini : 10 Sep 2020 04:57PM

KUALA LUMPUR: Seramai 945 belia yang berusia antara 18 hingga 35 tahun diisytihar muflis bagi tempoh Januari hingga Julai tahun ini, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Shabudin Yahaya.   

Menurutnya, mengikut rekod di Jabatan Insolvensi Malaysia (Mdl) terdapat lebih 100 kes muflis yang direkodkan melibatkan mereka yang berumur 31 hingga 35 tahun.

“Bagi membantu mengurangkan kadar kebankrapan, Mdl melaksanakan pelbagai program bagi mewujudkan kesedaran masyarakat tentang isu muflis seperti program bersama masyarakat dan Mdl Prihatin.

“Ia bagi menyampaikan maklumat, memberikan pendidikan dan mewujudkan kesedaran kepada orang ramai khususnya belia supaya perkara itu dapat ditangani di peringkat awal lagi. Ceramah, taklimat dan program kesedaran itu juga melibatkan agensi awam dan swasta, serta pelajar institusi pengajian tinggi,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi soal jawab persidangan Dewan Negara hari ini (10 Sep) bagi menjawab soalan yang dikemukakan Senator Paul Igai tentang jumlah belia yang disenaraikan sebagai bankrap dan langkah kerajaan dalam membantu mereka, yang berkemungkinan bankrap disebabkan COVID-19.

Selain itu, katanya lagi, kerajaan melalui Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) turut mengadakan program untuk memberi kesedaran tentang isu muflis.

Beliau berkata program itu melibatkan perancangan kewangan kepada semua golongan bagi membolehkan mereka yang terlibat dapat menangani masalah pengurusan kewangan di peringkat prakebankrapan.

“Program ini juga dapat membantu golongan belia untuk berbelanja dengan berhemah dan bijak dalam pengurusan kewangan bagi mengelakkan kemuflisan disebabkan COVID-19,” katanya.

Sumber : Bernama/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan