93 warga Indonesia masih berada di bandar Wuhan yang sedang dikuarantin
Pihak berkuasa China terus meningkatkan langkah-langkah tegas dan kini mengenakan kuarantin ke atas lagi lima bandar.
WUHAN: Pihak berkuasa China terus meningkatkan langkah-langkah tegas dan kini mengenakan kuarantin ke atas lagi lima bandar.
Bermakna 13 buah bandar kini dikuarantin melibatkan seramai 41 juta orang yang tidak dibenarkan keluar dari bandar masing-masing.
Di tengah-tengah kepungan tersebut, 93 warga Indonesia kini dilaporkan masih berada di Wuhan.
Mereka 'terperangkap' setelah pihak berkuasa China mengambil langkah mengenakan kuarantin ke atas bandar itu semalam demi menghalang virus korona baru yang datang dari sana daripada menular ke luar.
"Sampai saat ini tidak ada laporan (tentang) warga negara Indonesia di kota Wuhan yang terjangkit virus korona. Semua mahasiswa rata-rata tinggal di asrama dan selalu dalam pantauan kampus," kata Ketua Perhimpunan Pelajar Indonesia di China (PPIT) Cabang Wuhan, Nur Musyafak dalam keterangan tertulisnya hari ini (24 Jan).
Sebelum ini Kedutaan Besar Republik Indonesia (KBRI) di Beijing mencatat 428 warganya tinggal di wilayah Hubei dan 200 daripada mereka di bandar Wuhan.
Mujur sebahagian besar daripada mereka sudah pulang ke Indonesia untuk meraikan Tahun Baru Cina dan cuti semester.
PPIT Wuhan selalu berhubungan dengan pihak KBRI di Beijing dan Direktorat Perlindungan Warga Negara Indonesia Kementerian Luar Negeri.
Duta Besar Indonesia ke China, Djauhari Oratmangun, meminta semua warganya di Wuhan agar tidak panik.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.