Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

80% penduduk dewasa M'sia sudah dapatkan vaksin penuh COVID-19

Malaysia hari ini (21 Sep) mencatatkan perkembangan membanggakan apabila berjaya mencapai kadar vaksinasi 80 peratus penduduk dewasa yang lengkap divaksin, lebih awal daripada sasaran.

Anggaran Waktu Membaca:
80% penduduk dewasa M'sia sudah dapatkan vaksin penuh COVID-19

Pekerja perubatan menerima vaksin COVID-19 di Hospital Kuala Lumpur di Kuala Lumpur, Malaysia, pada 1 Mac 2021. (Gambar: Lim Huey Teng/REUTERS)

Diterbitkan : 21 Sep 2021 09:07PM Dikemas Kini : 21 Sep 2021 09:09PM

KUALA LUMPUR: Malaysia hari ini (21 Sep) mencatatkan perkembangan membanggakan apabila berjaya mencapai kadar vaksinasi 80 peratus penduduk dewasa yang lengkap divaksin, lebih awal daripada sasaran.

Mengikut sasaran awal, peratusan itu hanya akan dapat dicapai menjelang hujung bulan hadapan sebelum negara beralih memasuki fasa endemik COVID-19.

Komitmen tinggi dan iltizam kerajaan, serta pengorbanan pasukan barisan hadapan dalam memerangi COVID-19 sejak setahun lalu, kini membuahkan hasil dengan kadar kebolehjangkitan (RT) pandemik berkenaan setakat 19 Sept lepas, berada di tahap 0.92.

Kejayaan itu juga turut disumbang oleh sokongan jitu Keluarga Malaysia, yang bersama-sama memainkan peranan dalam menjayakan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) yang dilaksanakan sejak 24 Feb, dalam usaha membendung penularan COVID-19 di seluruh negara.

Malah kapasiti dan penggunaan katil COVID-19 di hospital sehingga semalam (20 Sep) juga turut menyaksikan trend penurunan, iaitu sebanyak 76 peratus bagi penggunaan katil Unit Rawatan Rapi (ICU) dan 68 peratus bagi penggunaan katil bukan ICU.

Dengan perkembangan positif itu, rakyat yang telah melengkapkan vaksinasi mereka mula menikmati lebih banyak kelonggaran dengan pembukaan pelbagai sektor termasuk sukan dan pelancongan, yang dilakukan dengan penuh tanggungjawab oleh kerajaan.

Ia dimulakan dengan kelonggaran makan di kedai atau premis makanan yang mempunyai sistem pengudaraan yang baik, dengan pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) ketat.

Kejayaan vaksinasi merangsangkan pembukaan gelembung pelancongan domestik dengan Langkawi, Kedah menjadi projek rintis, sebelum disusuli pembukaan semula pulau-pulau lain yang sekian lama merindukan kedatangan pelancong.

Sektor sukan yang sebelum ini menyaksikan operatornya khususnya membabitkan aktiviti sukan di kawasan tertutup (indoor sports) hidup dalam kesukaran, kerana terikat dengan SOP Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), mula menikmati kemudahan dan kelonggaran yang diberikan kerajaan.

Selepas mencapai sasaran 80 peratus vaksinasi itu, usaha kerajaan kini tertumpu kepada baki 20 peratus individu dewasa serta program PICK Remaja, yang dimulakan secara rasmi semalam dengan sasaran penglibatan 3.2 juta remaja berusia 12 hingga 17 tahun.

Sumber : Bernama/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan