Images
  • bernama

80% kes berpotensi derma organ di M'sia tidak dapat persetujuan keluarga

KUALA LUMPUR: Kira-kira 80 peratus kes yang berpotensi untuk menderma organ tidam mendapat persetujuan ahli keluarga masing masing, kata Ketua Penolong Pengarah Kanan Unit Perkhidmatan Transplantasi Bahagian Perkembangan Perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia, Dr Raja Farah Faizura Raja Shahruddin.

Beliau berkata disebabkan itu sekitar 20 hingga 30 orang sahaja setiap tahun yang menderma organ selepas mendapat keizinan dan persetujuan daripada keluarga si penderma organ terbabit.

"Mereka (keluarga) beri pelbagai sebab tidak bersetuju untuk ahli keluarga yang dah berikrar menderma organ antaranya tidak mahu menyeksa jenazah, takut lambatkan pengebumian dan ada juga beritahu tidak tahu hasrat si mati itu untuk menderma organ," katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis Pelancaran Minggu Kesedaran Pendermaan Organ dan Bicara Hati Peringkat Kebangsaan di sini, pada Ahad (6 Okt) yang dirasmikan Pengarah Perkembangan Perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Dr Bahari Tok Muda Awang Ngah.

Berdasarkan statistik KKM, sehingga 31 September lepas, sejumlah 431,833 atau 1.3 peratus mewakili rakyat Malaysia berikrar sebagai penderma organ selepas kematian dan jumlah itu masih rendah berbanding dengan negara-negara lain.

Sementara itu Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesedaran Awam Pendermaan Organ Kebangsaan, Encik Lee Lam Thye berkata banyak kes yang berlaku apabila keluarga tidak bersetuju untuk ahli keluarganya mendermakan organ walaupun dia telah berikrar berbuat demikian.

Beliau berkata pengikrar penderma organ diharap dapat berkongsi maklumat mengenai hasrat mereka mahu menderma organ dengan keluarga mereka dan waris terdekat supaya tidak timbul masalah untuk berbuat demikian selepas meninggal dunia.

"Misalnya, seseorang yang memiliki kad ikrar derma organ terlibat dengan kemalangan, doktor kemudiannya akan terlebih dahulu bertanya dengan keluarga si penderma (meminta persetujuan) tapi malangnya keluarga penderma tidak bersetuju kerana tidak mengetahui hasrat si mati.

 "Jadi ini kekangannya, saya berharap lebih ramai penderma organ menjelaskan mengapa mereka mendaftar sebagai penderma organ dengan keluarga dan waris terdekat kerana mereka ada tanggungjawab untuk mempengaruhi dan menyakinkan mereka," katanya.

- BERNAMA/EM/ha

Top