Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

80 disahkan maut selepas pesawat Pakistan terhempas

Sekurang-kurangnya 41 orang disahkan maut dalam nahas pesawat di kawasan kediaman di bandar terbesar Pakistan, Karachi, kata ketua eksekutif Pakistan International Airlines (PIA) pada Jumaat (22 Mei).

Anggaran Waktu Membaca:
80 disahkan maut selepas pesawat Pakistan terhempas

Para penyelamat mengusung mangsa dari nahas pesawat dekat lapangan terbang di Karachi, Pakistan pada 22 Mei 2020 (Gambar: REUTERS/Akhtar Soomro)

Diterbitkan : 23 May 2020 08:52AM Dikemas Kini : 23 May 2020 09:04AM

ISLAMABAD: Sekurang-kurangnya 41 orang disahkan maut dalam nahas pesawat di kawasan kediaman di bandar terbesar Pakistan, Karachi, kata ketua eksekutif Pakistan International Airlines (PIA) pada Jumaat (22 Mei).

Pesawat Airbus yang membawa 99 penumpang itu terhempas setelah dua kali cuba mendarat di lapangan terbang.

Dua penumpang terselamat, termasuk Zafar Masood, presiden Bank Punjab, kata jurucakap pemerintah wilayah Sindh. Bank itu menyatakan bahawa beliau mengalami keretakan tulang tetapi "dalam keadaan sedar dan memberi tindak balas baik".

Seorang lagi yang terselamat, jurutera Muhammad Zubair, memberitahu Geo News bahawa juruterbang telah mendaratkan pesawat sekali buat sejenak, lalu berlepas lagi.

Setelah 10 minit lagi di udara, juruterbang itu mengumumkan kepada para penumpang bahawa beliau akan melakukan percubaan kedua, sebelum pesawat itu terhempas ketika menghampiri landasan, kata Encik Zubair dari katilnya di Hospital Awam Karachi.

Asap tebal kelihatan menjulang ke udara sedang para pekerja penyelamat dan penduduk mencari mangsa terselamat di bawah serpihan pesawat dan anggota bomba berusaha memadamkan api. Seorang wartawan AFP menyaksikan mayat rentung dimasukkan ke dalam ambulans.

Sarfraz Ahmed - seorang anggota bomba yang berada di tapak nahas memberitahu AFP muncung dan fiuslaj pesawat Airbus A320 itu rosak teruk akibat terhempas, sambil menambah bahawa para penyelamat telah mengeluarkan empat mayat dari pesawat yang hancur itu, termasuk beberapa mangsa yang masih memakai tali pinggang keledar.

Seemin Jamali, seorang pengarah dari Kolej Perubatan Pos Siswazah di bandar itu, berkata lapan orang terkorban dan 15 orang yang cedera telah dibawa ke kemudahan itu.

"Mereka semua dari darat, tidak ada penumpang (pesawat) yang dibawa ke sini," katanya.

Nahas itu berlaku sehari sebelum perayaan Aidilfitri, ketika warga Pakistan melakukan perjalanan untuk mengunjungi saudara-mara.

Pesawat Airbus A320 itu sedang dalam penerbangan dari bandar Lahore di bahagian timur ke Karachi di selatan membawa 91 penumpang dan lapan anak kapal, kata penguasa penerbangan awam, sedang Pakistan baru saja menyambung penerbangan domestik berikutan wabak COVID-19.

Sebanyak 80 mayat dibawa ke hospital JPMC dan Hospital Awam Karachi, kata penyelaras media menteri kesihatan Sindh dalam satu kenyataannya. Ketua eksekutif syarikat penerbangan itu, Arshad Malik, memberitahu para wartawan bahawa beliau setakat ini mengetahui tentang 41 kematian yang disahkan.

Para pakar keselamatan penerbangan berkata bahawa kemalangan udara biasanya mempunyai berbilang sebab, dan ini memerlukan masa untuk difahami.

Sumber : Agensi berita/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan