Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

8 termasuk ketua balai polis di M'sia diberkas susuli pesta liar

Seorang Ketua Balai Polis (OCS) Malaysia bersama tiga anggotanya serta empat wanita orang awam ditahan hasil serbuan di Bukit Aman, ketika mereka sedang berhibur dalam bilik khas di balai polis yang diketuainya, di Kajang.

Anggaran Waktu Membaca:
8 termasuk ketua balai polis di M'sia diberkas susuli pesta liar

Gambar fail kereta polis di Malaysia. (Gambar: Manan Vatsyayana/AFP)

Diterbitkan : 21 Jul 2021 10:39PM Dikemas Kini : 21 Jul 2021 10:41PM

KUALA LUMPUR: Seorang Ketua Balai Polis (OCS) Malaysia bersama tiga anggotanya serta empat wanita orang awam ditahan hasil serbuan di Bukit Aman, ketika mereka sedang berhibur dalam bilik khas di balai polis yang diketuainya, di Kajang.

Serbuan itu dijalankan oleh pasukan daripada Jabatan Integriti Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman, pada jam 6.00 petang semalam (20 Jul), sebaik menerima maklumat daripada orang awam, lapor BHOnline.

Sebahagian daripada mereka yang diberkas dipercayai sedang menari sambil berhibur dengan minuman keras serta meminum air ketum dalam sebuah bilik di tingkat dua balai berkenaan.

Anggota polis dan wanita yang ditahan sedang menari dan berkaraoke di dalam bilik gelap yang dipasang lampu berputar bagaikan dalam disko.

Hasil pemeriksaan, polis menahan OCS berpangkat Sub Inspektor, dua Koperal dan seorang Koperal Sokongan serta empat wanita orang awam berusia antara 21 dengan 37 tahun.

Polis juga turut merampas botol minuman keras, pembesar suara, lampu disko, peralatan sistem pembesar audio, perakam, mikrofon dan satu unit tv.

Turut dirampas lima botol mengandungi air ketum serta gambar lucah salah seorang anggota yang ditahan bersama seorang wanita, lapor BHOnline.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman Azri Ahmad mengesahkan kejadian terbabit, sambil berkata tangkapan dijalankan atas maklumat salah laku yang jelas.

"Tindakan pegawai, anggota dan orang awam terbabit yang berhibur di sebuah bilik di balai berkenaan dengan berkaraoke menyalahi prosedur operasi standard (SOP) COVID-19.

"Tangkapan dijalankan oleh pegawai dan anggota JIPS Bukit Aman selepas mendapati tindakan itu jelas melanggar SOP.

"Kita tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak jika mereka didapati melanggar peraturan atau SOP yang ditetapkan," katanya ketika dihubungi BHOnline.

Sumber : Agensi berita/SM/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan