Images
  • haji babies
    8 bayi dilahirkan semasa musim haji 2019. (Gambar: Arab News/Facebook)

8 kelahiran dicatatkan di Tanah Suci semasa musim Haji 2019 setakat ini

MINA: Hospital-hospital di Makkah serta Tanah Suci di Mina dan Arafah mencatat lapan kelahiran semasa musim Haji tahun ini, menurut Kementerian Kesihatan Arab Saudi pada Ahad (11 Ogos) seperti ditukil oleh Arab News.

Satu laporan kementerian yang diterbitkan oleh Agensi Akhbar Saudi (SPA) menyatakan Hospital Bersalin dan Kanak-Kanak Makkah mendaftarkan lima kelahiran termasuk dua di Arafah dan satu di Mina.

Bayi-bayi yang dilahirkan di Arafah adalah zuriat kepada para jemaah yang sedang menunaikan ibadah wukuf haji pada tanggal 10 Ogos. Bagaimanapun tidak diketahui sama ada ibu kepada bayi-bayi lain juga merupakan jemaah haji.

Seorang jemaah wanita dari Libya berusia 40 tahun, Suad Mohammed Barbush, bersalin cahaya mata lelakinya di Hospital Jabal Rahmah dan menamakannya Arafah, sempena bukit suci itu. Lazimnya, pasangan ibu bapa bersetuju untuk menamakan bayi mereka yang dilahirkan di gunung itu dengan nama Arafah atau Arafat.


Ashan Yusuf melahirkan kegembiraan dan menyampaikan penghargaan kepada pasukan perubatan hospital itu setelah kedua-dua isteri dan bayinya diisytiharkan berada dalam keadaan stabil.

Wanita kedua iaitu seorang jemaah warga Guinea berusia 23 tahun, Maimunah Ali, melahirkan anaknya pada petang Sabtu (10 Ogos) di Hospital East Arafat beberapa jam setelah beliau dan suaminya mendaki bukit Arafah di pagi hari.


Namun, menurut Arab News, pasangan itu mahu 'lari' daripada tradisi dan bersepakat untuk menamakan anak lelaki mereka Mohammed Salman sempena Putera Mahkota Arab Saudi Mohammed bin Salman.

Para doktor turut mengisytiharkan ibu dan bayi warga Guinea itu dalam "keadaan stabil serta selamat." 

- Agensi berita/FZ/fz

Top