Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

71 tan dadah dirampas tahun ini di M'sia

Sebanyak 71 tan dadah dianggarkan bernilai RM213 juta (S$69.6 juta) dirampas sejak awal Januari hingga 15 Jun lepas, kata Pemangku Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman Kamarulzaman Mamat.

Anggaran Waktu Membaca:
71 tan dadah dirampas tahun ini di M'sia

(Gambar hiasan: AFP/Michelle Shephard)

Diterbitkan : 26 Jun 2019 07:27PM Dikemas Kini : 26 Jun 2019 07:30PM

KUALA LUMPUR: Sebanyak 71 tan dadah dianggarkan bernilai RM213 juta (S$69.6 juta) dirampas sejak awal Januari hingga 15 Jun lepas, kata Pemangku Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman Kamarulzaman Mamat.

Beliau berkata antara dadah sintetik yang dirampas ialah syabu (3.6 tan), pil ecstasy 457 kilogram (kg) serta pil Erimin 5 (57 kg) manakala dadah tradisional pula iaitu ketum (66 tan) dan ganja (0.5 tan).

Beliau berkata dalam tempoh itu juga, 84,905 individu ditahan kerana disyaki terlibat dalam sindiket pengedaran dan penyalahgunaan dadah.

"Sejak akhir-akhir ini ancaman dadah semakin meningkat dan polis khususnya JSJN telah memperkasakan aktiviti pencegahan serta penangkapan pengedar dadah," katanya kepada para wartawan di Bukit Aman pada Rabu (26 Jun).

Encik Kamarulzaman berkata pihaknya telah mempertingkat kawalan di pintu masuk negara seperti di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) bagi mengelak kemasukan bekalan dadah.

"Kerjasama dengan agensi penguatkuasaan luar dan dalam negara juga dipertingkat dalam usaha memperoleh maklumat berkaitan aktiviti pengedaran dadah rentas sempadan," katanya.

Dalam pada itu, Encik Kamarulzaman berkata penglibatan golongan muda dalam penyalahgunaan dadah dilihat membimbangkan dengan 3,683 individu berusia 19 hingga 24 tahun ditahan dalam operasi sejak 6 Mei hingga 19 Jun lepas.

"Kebanyakan mereka menggunakan dadah di pusat-pusat hiburan untuk berhibur dan perkara itu perlu dibendung memandangkan golongan ini merupakan generasi yang bakal memimpin negara.

"Orang ramai diminta menyalurkan apa jua bentuk maklumat berkaitan dadah kepada polis," katanya.

Sumber : Bernama/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan