Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

63% keluar mengundi dalam PRK Semenyih setakat 3.00 petang

Sebanyak 63 peratus daripada 53,411 pengundi biasa bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan (DUN) Semenyih sudahpun menunaikan tanggungjawab mereka setakat pukul 3.00 petang ini (2 Mac) .

Anggaran Waktu Membaca:
63% keluar mengundi dalam PRK Semenyih setakat 3.00 petang

SPR menyasar 70% akan keluar mengundi dalam pilihan raya Semenyih. (Gambar: Bernama)

Diterbitkan : 02 Mar 2019 04:09PM Dikemas Kini : 02 Mar 2019 04:11PM

SEMENYIH: Sebanyak 63 peratus daripada 53,411 pengundi biasa bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan (DUN) Semenyih sudahpun menunaikan tanggungjawab mereka setakat pukul 3.00 petang ini (2 Mac).

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum ini menyasarkan peratusan keluar mengundi adalah 70 peratus bagi PRK kali ini.

Proses pengundian di semua 24 pusat mengundi melibatkan 116 saluran dibuka dari pukul 8.00 pagi hingga 5.30 petang ini.

Pengerusi SPR Azhar Azizan Harun turut meninjau proses pengundian di beberapa pusat mengundi sejak pagi tadi, iaitu di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Seri Putra, Sekolah Rendah Agama Batu Tiga dan SMK Bandar Rinching.

Namun terdapat beberapa perkara yang mencemari proses pengundian, termasuk adanya kegiatan meraih undi dan barung atau pondok panas di beberapa pusat pengundian. Bagaimanapun, SPR sudah mengarahkan agar semua kegiatan tersebut dihentikan serta-merta.

Encik Azhar turut mengingatkan calon supaya tidak sesekali mengeluarkan kenyataan ‘undi saya’ kepada mana-mana individu, meskipun kepada pihak media sehingga pusat mengundi ditutup hari ini (2 Mac).

Tinjauan agensi berita Bernama mendapati jumlah tinggi pengundi di pusat-pusat mengundi pada waktu pagi, namun ia semakin berkurangan pada waktu tengah hari.

Hal ini berkemungkinan kerana para pengundi bimbang akan cuaca terlalu panas pada waktu tengah hari dan hujan di sebelah petang, seperti yang berlaku sejak dua atau tiga lalu.

Tinjauan Bernama setakat pukul 3.00 petang juga mendapati aliran trafik di jalan-jalan utama di pekan Semenyih sedikit sesak.

PRK DUN Semenyih menyaksikan pertandingan empat penjuru antara calon Pakatan Harapan, Muhammad Aiman Zainali, Zakaria Hanafi (BN), Kuan Chee Heng (Bebas) dan Nik Aziz Afiq Abdul (PSM).

PRK itu diadakan berikutan kematian penyandangnya yang mewakili Bersatu, Allahyarham Bakhtiar Mohd Nor, 57 tahun, pada 11 Jan lalu akibat serangan jantung.

Sumber : Bernama/AI/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan