Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

6 suspek ISIS ditangkap di Johor, rancang serang tempat ibadat

Seramai tujuh suspek pengganasan ditangkap di Johor dan Sabah, menurut polis Malaysia hari ini (24 Mac).

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 24 Mar 2018 07:31PM Dikemas Kini : 24 Mar 2018 09:46PM

KUALA LUMPUR: Seramai tujuh suspek pengganasan ditangkap di Johor dan Sabah, menurut polis Malaysia hari ini (24 Mac).

Mereka ditangkap dalam beberapa operasi antara 27 Februari dengan 15 Mac.

Enam daripada mereka yang ditangkap di Johor adalah anggota sel militan ISIS dan didakwa merancang serangan terhadap tempat-tempat ibadat bukan Islam serta membunuh anggota polis. Seorang lagi anggota Abu Sayyaf ditahan di Sabah, demikian didedahkan polis dalam satu kenyataan.

Dalam operasi pertama, polis menangkap seorang lelaki 37 tahun yang dipercayai dalang rancangan menyerang rumah ibadat di Johor Bahru. Dia juga secara aktif merekrut anggota militan baru, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun.

"Suspek kedua, seorang pengawal keselamatan yang berusia 49 tahun adalah penasihat sel itu," katanya sambil menambah suspek tersebut bertanggungjawab memastikan anggota sel berkenaan merahsiakan kegiatan mereka. Dia juga memberi arahan untuk membunuh sebarang anggota sel yang membocorkan rahsia.

Suspek ketiga, pengawal keselamatan berusia 30 tahun yang ditugaskan untuk memperoleh senjata api dari luar negara. Dia juga meninjau beberapa tempat ibadat yang disasarkan di Johor Bahru.

Suspek merancang melarikan diri ke sebuah negara jiran untuk mencari perlindungan dengan kumpulan pengganas di sana selepas menjalankan serangan mereka, kata ketua polis itu tanpa mendedahkan nama negara tersebut.

Menurut Tan Sri Mohamad Fuzi tiga anggota lain sel yang sama ditahan dalam operasi susulan.

Seorang daripada mereka, pelayan berusia 25 tahun diperintah untuk menculik dan membunuh anggota polis.

Lagi dua suspek berusia 23 dan 22 tahun ditangkap pada 1 Mac dan bekerja sebagai pembersih bangunan di Singapura. Salah seorang daripada mereka bertindak sebagai perantara dalam membeli senjata api untuk sel itu.

Tangkapan terakhir melibatkan anggota Abu Sayyaf yang dikatakan ada kaitan dengan militan Malaysia Mahmud Ahmad. Dia juga dikehendaki oleh pihak Filipina kerana terlibat dalam sindiket penculikan untuk mendapatkan wang tebusan.  

Sumber : CNA/SM/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan