Images
  • thai theme park
    Petikan video dari Twitter. (Gambar: Twitter/IamTHAI_siam)

6 remaja tercampak keluar dari permainan taman tema di Thailand

LOPBURI: Suasana seronok di taman tema bertukar menjadi mimpi ngeri.

Itulah yang dapat digambarkan apabila enam remaja berusia antara 12 dengan 15 tahun tercampak keluar dari permainan lambungan yang dinamakan 'Crazy Wave' pada Ahad lalu (1 Dis).

Seperti ditukil dalam laporan Astro Awani, media tempatan Thailand melaporkan empat daripada remaja itu dikejarkan ke hospital setelah mengalami kecederaan akibat tercampak keluar daripada tempat duduk permainan itu.

Menurut pemilik taman tema di wilayah Lopburi itu, Sornchai Jantarachota, pengendali permainan gagal memastikan tali pinggang keselamatan dipasang dengan betul.

Ketika kejadian itu berlaku, kakitangan yang lebih berpengalaman berada di tandas dan beliau digantikan oleh seorang pekerja baharu.

Pekerja tersebut memulakan permainan tanpa memeriksa pemasangan tali pinggang keselamatan kumpulan remaja itu.

Astro Awani melaporkan akibat kejadian itu, salah seorang remaja, Sirirat Potima berusia 13 tahun, patah kaki dan masih dirawat di Hospital King Narai.

Remaja yang lain hanya mengalami kecederaan ringan dan dibenarkan pulang.

Rakaman video yang tular di media sosial menunjukkan enam remaja duduk di satu bahagian permainan itu lalu tercampak keluar apabila permainan itu mula berputar laju pada ketinggian kira-kira enam meter dari tanah, menurut laporan Astro Awani.

Menurut polis, mereka akan menjalankan siasatan dan mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka yang bertanggungjawab.

Malah, mereka juga akan memeriksa lesen taman tema tersebut untuk memastikan bahawa ia beroperasi secara sah. 

- Agensi berita/HA/ha

Top