Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

6 rakyat Palestin gali terowong loloskan diri dari penjara Israel

Enam warga Palestin berhasil meloloskan diri dari sebuah penjara di Israel pada Isnin (6 Sep) dengan menggali terowong di bawah sinki.

Anggaran Waktu Membaca:
6 rakyat Palestin gali terowong loloskan diri dari penjara Israel

Lubang terowong luar penjara Gilboa di Israel di mana 6 warga Palestin dilapor melepaskan diri pada 6 Sep 2021 (Gambar: AFP/Jalaa Marey)

Diterbitkan : 07 Sep 2021 04:27PM Dikemas Kini : 07 Sep 2021 04:29PM

BAITULMAKDIS: Enam warga Palestin berhasil meloloskan diri dari sebuah penjara di Israel pada Isnin (6 Sep) dengan menggali terowong di bawah sinki.

Ia mencetuskan operasi besar-besaran untuk memburu mereka, termasuk seorang bekas militan yang terkenal.

Khidmat Penjara Israel (IPS) menyatakan alat penggera dibunyikan pada sekitar 3.00 pagi oleh para penduduk tempatan yang ternampak "individu-individu yang mencurigakan" di luar penjara Gilboa di bahagian utara Israel.

Kumpulan yang berhasil melarikan diri itu termasuk Zakaria Zubeidi, bekas pemimpin militan dari bandar Jenin di Tebing Barat yang ditakluki Israel.

Dalam rakaman video yang mirip filem ikonik tentang para banduan yang meloloskan diri dari penjara "The Shawshank Redemption," IPS mengeluarkan video yang menunjukkan ejen-ejen memeriksa terowong yang sempit di bawah sinki dan satu lagi menunjukkan sebuah lubang di luar tembok penjara.

Gilboa - yang dibuka pada 2004 semasa intifada kedua Palestin - adalah tapak keselamatan ketat di mana beratus-ratus warga Palestin ditahan bersama dengan para banduan lain.

Menurut khidmat penjara itu, semua yang ditahan di Gilboa berhubung "kesalahan keselamatan" sedang dipindahkan ke lokasi lain untuk mengelakkan kemungkinan mereka melarikan diri menerusi terowong lain.

'PEMANTAUAN BELUM PERNAH DILAKUKAN'

Beberapa jam sebelum Israel menyambut Tahun Baru Yahudi, polis, tentera dan ejen-ejen dari agensi keselamatan dalam negeri Israel, Shin Bet, melancarkan operasi untuk memburu para banduan yang meloloskan diri itu, menurut satu kenyataan polis.

Pemburuan itu merangkumi kenderaan pengawasan udara, anjing penghidu, hadangan jalan raya dan pusat pemeriksaan.

Di Jenin, di mana sebilangan warga Palestin melepaskan tembakan ke udara untuk meraikan mereka yang berjaya meloloskan diri dari penjara, ramai anggota pasukan keselamatan Israel telah dikerahkan untuk memburu mereka, menurut seorang wartawan AFP.

Gabenor Jenin Akram Rajoub memberitahu AFP: "Buat masa ini keadaan tenang, namun pengawasan pada tahap ini adalah sesuatu yang belum pernah dilakukan."

Keadaan di Jenin sudah bergolak sejak beberapa minggu lalu. Kejadian tembak-menembak tercetus bulan lalu semasa pasukan Israel memburu suspek, menyebabkan empat rakyat Palestin terbunuh.

Perdana Menteri Israel Naftali Bennet menyifatkan insiden para banduan meloloskan diri dari penjara itu sebagai satu "kejadian serius yang memerlukan usaha menyeluruh oleh semua khidmat keselamatan".

Kesemua yang berhasil meloloskan diri itu dituduh merancang atau melancarkan serangan ke atas para penduduk Israel. 

Sumber : AFP/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan