Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

6 maut dirempuh kereta di China; pemandu ditembak polis

Seorang lelaki merempuh keretanya ke arah sekumpulan orang di tengah China pada Jumaat (22 Mac), menyebabkan enam maut dan lapan cedera, sebelum ditembak mati polis, menurut pegawai setempat.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 22 Mar 2019 03:15PM Dikemas Kini : 22 Mar 2019 10:46PM

BEIJING: Seorang lelaki merempuh keretanya ke arah sekumpulan orang di tengah China pada Jumaat (22 Mac), menyebabkan enam maut dan lapan cedera, sebelum ditembak mati polis, menurut pegawai setempat.

Suspek, seorang lelaki 44 tahun bernama Cui Lidong, mencederakan anak dan isterinya di rumah sebelum merempuh kenderaannya ke arah pejalan kaki.
Menurut pemerintah bandar Zaoyang di wilayah Hubei dalam satu kenyataan online, kes itu sedang disiasat dan mereka yang cedera sedang dirawat.

Satu video yang disiarkan wadah berita di Shanghai, The Paper, menunjukkan mayat terbujur di tepi jalan dan ditutup dengan selimut manakala sekumpulan orang kelihatan sedang mengalihkan seorang individu ke atas pengusung.

China menyaksikan beberapa insiden serupa dalam tempoh beberapa bulan lalu.

September lalu, 11 maut dan puluhan lagi cedera apabila sebuah kereta merempuh orang ramai di lapangan awam di bandar Hengdong, Hunan.

Polis menahan pemandu tersebut, seorang lelaki dalam lingkungan usia 40an tahun dan menyifatkannya sebagai seorang "pesalah bentan berdendam" yang menyimpan beberapa belah pisau di dalam kereta dengan niat untuk "menyebabkan kecederaan parah".

Pada lewat November lalu pula, sebuah kereta melanggar sekumpulan kanak-kanak yang sedang melintas di hadapan tadika di wilayah timur laut Liaoning, membunuh lima orang dan mencederakan 19 lagi.

Pemandu dalam kejadian itu berkata dia "memilih mangsa secara rambang" dan dilaporkan cuba membunuh diri kerana masalah rumah tangga sebelum tragedi itu berlaku.

Sumber : AFP/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan