Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

6 mati ditembak dalam keganasan terbaru selatan Thailand

Wilayah bergolak selatan Thailand terus menyaksikan insiden keganasan dengan enam lagi penduduk tempatan terbunuh dalam dua kejadian tembakan berasingan bagi tempoh 24 jam di Yala dan Pattani.

Anggaran Waktu Membaca:
6 mati ditembak dalam keganasan terbaru selatan Thailand

Tempat kejadian di wilayah Yala. (Gambar: Tuwaedaniya Meringing/ AFP)

Diterbitkan : 11 Jun 2018 07:27PM Dikemas Kini : 11 Jun 2018 07:30PM

PATTANI: Wilayah bergolak selatan Thailand terus menyaksikan insiden keganasan dengan enam lagi penduduk tempatan terbunuh dalam dua kejadian tembakan berasingan bagi tempoh 24 jam di Yala dan Pattani.

Kedua-dua insiden berdarah itu menyusuli pembunuhan Timbalan Yang di-Pertuan Majlis Agama Islam Pattani Adulej Cheknae serta empat lelaki yang sedang mendulang emas di Pattani serta Narathiwat, tiga hari lalu.

Dalam kejadian pertama pada sekitar 1.00 pagi tadi (waktu tempatan), lima lelaki berusia antara 25 hingga 39 tahun maut ditembak daripada jarak dekat dipercayai oleh empat penyerang yang tidak dikenali di sebuah rumah di Mukim Tanah Putih, Banang Setar di Yala.

"Kesemua mangsa ditembak di badan dan kepala dari jarak dekat," kata Penolong Ketua Polis Daerah Banang Setar Kapt Zulkifli Rasak.

Polis menemui beberapa kelongsong peluru senapang patah dan 5.56 mm milik senapang M-16 di tempat kejadian, katanya.

Menurut Encik Zulkifli, mangsa yang maut itu dikenali sebagai Ibrahem Muset, 32 tahun, Aranchai Dohet, 26, Usman Yusuf, 39, Furqan Raso, 25, dan Ahamad Muset, 33 tahun.

Beliau menambah, kesemua mangsa merupakan penduduk Kampung Tanah Putih, dan pihaknya masih menyiasat kes itu termasuk mengenal pasti motif pembunuhan.

Dalam satu lagi kejadian pada 6.00 petang semalam (10 Jun) di daerah Saiburi, Pattani, seorang wanita dikenali sebagai Yenah Abubakar, 48 tahun, mati ditembak di bahagian kepala.

Mangsa yang merupakan isteri penghulu Mukim Trabon ditembak ketika sedang menjual juadah berbuka puasa di depan rumahnya, kata Penolong Ketua Polis daerah Saiburi Kapt Aniwat Khobpech.

"Dua lelaki turun dari motosikal dan menembak beliau. Mangsa dikejarkan ke hospital berdekatan tetapi meninggal dunia tidak lama kemudian,” katanya.  

Sumber : Bernama/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan