Images
  • india rape trial
    Pihak media mengerumuni kenderaan polis yang membawa tujuh lelaki tertuduh dalam kes kanak-kanak perempuan yang diperkosa lalu dibunuh. (Gambar:  AFP/Narinder Nanu)

6 lelaki didapati bersalah rogol, bunuh kanak-kanak

PATHANKOT: Seramai enam lelaki termasuk tiga pegawai polis disabit kesalahan oleh sebuah mahkamah India pada Isnin (10 Jun) dalam kes memperkosa dan membunuh seorang kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun di Jammu dan Kashmir tahun lalu.

Tiga lelaki - termasuk seorang sami Hindu - dihukum penjara seumur hidup kerana merogol dan membunuh kanak-kanak itu.

Lagi tiga lelaki lain - kesemuanya pegawai polis - dijatuhi hukuman penjara lima tahun kerana memusnahkan bukti.

Demikian menurut peguam Vinod Mahajan kepada para wartawan di luar mahkamah di bandar Pathankot, utara India.

Kanak-kanak Muslim itu diberikan dadah dan ditahan di sebuah kuil di mana beliau diperkosa berkali-kali selama lima hari sebelum dicekik dan dipukul sehingga mati.

Penculikan, perogolan dan pembunuhan kanak-kanak tersebut dikatakan adalah sebahagian daripada rancangan untuk 'membersihkan' kawasan itu daripada masyarakat minoriti Muslim, menurut kertas pertuduhan 15 halaman.

"Ini suatu kemenangan bagi kebenaran," kata peguam pendakwa raya, M Farooqi.

"Kanak-kanak perempuan itu dan keluarganya mendapat keadilan hari ini."

Kes tersebut mencetuskan kemarahan di merata India dan telah membuatkan pemerintah India mengambil keputusan untuk mengenakan hukuman mati bagi mereka yang memperkosa kanak-kanak.

Bantahan-bantahan besar-besaran turut tercetus di Kashmir yang mempunyai majoriti penduduk beragama Islam di mana para pemberontak bertempur dengan tentera India bertahun-tahun lamanya untuk meraih kemerdekaan atau menyertai Pakistan.

Sementara itu, beribu-ribu anggota kumpulan radikal Hindu menuntut supaya para pesalah itu dibebaskan dengan mendakwa mereka tidak bersalah. 

- Agensi berita/NF/zm

Top