Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

6 ditahan, syabu S$5.1 juta dirampas

Polis Malaysia menumpaskan sindiket penyeludupan dan pengedaran dadah susulan penahanan enam individu serta merampas 306 kg syabu bernilai RM15.3 juta (S$5.1 juta) pada Jumaat (6 Jul).

Anggaran Waktu Membaca:
6 ditahan, syabu S$5.1 juta dirampas

(Gambar: BERNAMA)

Diterbitkan : 08 Jul 2018 03:51PM Dikemas Kini : 08 Jul 2018 06:15PM

GEORGE TOWN: Polis Malaysia menumpaskan sindiket penyeludupan dan pengedaran dadah yang didalangi rakyat tempatan susulan penahanan enam individu serta merampas 306 kilogram (kg) syabu bernilai RM15.3 juta (S$5.1 juta) dalam empat serbuan di Pulau Pinang dan Kedah pada Jumaat (6 Jul).

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Mohmad Salleh berkata bertindak hasil risikan dan intipan, sepasukan anggota JSJN Bukit Aman dibantu JSJN Pulau Pinang dan Kedah telah melancarkan operasi pada 2.00 petang hingga 9.00 malam, kelmarin.

"Dalam serbuan pertama di Jelutong, polis menahan dua lelaki berumur 28 dan 37 tahun, namun tiada sebarang rampasan dadah bersama mereka sebelum menyerbu sebuah rumah lain di Kuala Nerang, Kedah dan menangkap tiga lelaki berumur 19 hingga 30 tahun.

"Polis kemudiannya menyerbu sebuah lagi rumah juga di Kuala Nerang dan menahan seorang wanita berumur 30 tahun iaitu isteri kepada suspek lelaki berumur 37 tahun yang ditahan di Jelutong, namun tiada sebarang rampasan dadah daripada mereka," katanya pada sidang akhbar, hari ini (8 Jul).

Katanya susulan penahanan itu, polis membuat serbuan di kawasan parkir Taman Pelangi Indah, Jelutong sebelum memeriksa sebuah kereta jenis Proton Waja yang diletakkan di situ dan merampas 306 kg syabu yang disembunyikan dalam 15 guni.

Encik Mohmad berkata semua dadah itu dibungkus dalam 295 bungkusan teh cina dan setiap satunya berat antara 1 kg hingga 1.5 kg.

Katanya berdasarkan siasatan syabu itu dibawa masuk dari negara jiran sebelum sebahagiannya diedar kepada rangkaian sindiket pengedaran dadah di Malaysia manakala selebihnya akan diseludup ke negara jiran untuk pasaran di sana.

"Sindiket itu menjadikan Pulau Pinang sebagai tempat transit dadah sebelum ia diseludup keluar berikutan negeri ini adalah lokasi strategik dan semua syabu yang dirampas itu boleh digunakan oleh lebih 1.5 juta penagih," katanya.

Beliau berkata siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti dalang utama sindiket dan berapa lama mereka termasuk enam yang ditahan itu telah beroperasi serta terlibat dalam kegiatan berkenaan.

“Susulan penahanan mereka, polis merampas sejumlah pelbagai mata wang dan seutas jam tangan Rado serta menyita sebuah kereta Proton Waja. Semuanya bernilai RM16,000 (S$5,380),” katanya.

Beliau berkata enam yang ditahan itu hanya bekerja kampung, namun difahamkan hidup mewah berikutan mendapat upah yang mahal bagi menjalankan kegiatan penyeludupan serta pengedaran dadah dan tiga daripadanya turut positif dadah.

"Seorang daripada enam suspek itu turut mempunyai rekod lampau dan semua mereka kini direman bagi membantu siasatan," katanya.

Sumber : Bernama/SU/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan