Images
  • gavel generic
    (Gambar fail: Reuters)

6 dihukum penjara, denda kerana tidak solat Jumaat

KUALA LUMPUR: Dalam kes yang mungkin adalah pertama seumpamanya di Malaysia, enam lelaki Muslim termasuk tiga belia, dikenakan hukuman penjara satu bulan dan denda lebih RM2,000 (S$654) kerana meninggalkan solat Jumaat pada 23 Ogos lalu.

Khairul Azle Abdul Rasid, 35 tahun, Abdul Malek Mohd, 25 tahun, Muhamad Hafizi Abdul Razak, 22 tahun, Muhammad Aliff Fikri A Mazzani, 19 tahun dan dua belia berusia 17 tahun dikenakan hukuman oleh Hakim Syariah Nik Mohd Shahril Irwan Mat Yusof di Mahkamah Syariah Rendah Hulu Terengganu pada Ahad (1 Dis) setelah mengaku bersalah atas tuduhan meninggalkan solat Jumaat wajib dengan sengaja, demikian menurut laporan Harian Metro.

Keenam-enam tertuduh tidak diwakili sedang Hakim Syariah Nurul Taqwa Hasbul menjatuhkan hukuman.

Seperti ditukil oleh laporan Harian Metro, keenam-enam orang itu dituduh melanggar Seksyen 16 Akta Jenayah Syariah Terengganu (Takzir) 2016 yang mengenakan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda sehingga RM3,000 (S$982) ke atas mereka yang didapati bersalah.

Kesemua lelaki itu dikenakan hukuman penjara satu bulan, manakala seorang tertuduh, Khairul Azle yang merupakan bapa kepada dua orang anak dijatuhi hukuman denda paling berat iaitu RM2,500 (S$818). Lima tertuduh yang lain didenda RM2,400 (S$785).

Menurut kertas tuduhan, keenam-enam orang lelaki itu melakukan kesalahan tersebut di Air Terjun Sekayu antara pukul 1 dengan 1.50 petang pada 23 Ogos 2019.

Mereka dilaporkan diberkas dalam satu serbuan oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu.

Para pegawai wanita sedang melakukan pemantauan di kawasan riadah itu apabila mereka menemui keenam-enam tertuduh dalam kalangan orang ramai yang sedang berpiknik bersama keluarga mereka di kawasan air terjun itu dan tidak di masjid untuk menunaikan solat Jumaat.

Menurut laporan Harian Metro, mereka diberkas oleh para pegawai lelaki selepas solat Jumaat.

- Agensi berita/HA/ha

Top